Monday, December 28, 2009

OPERASI PENUTUPAN LADANG HARAM DI CAMERON HIGHLANDS



CAMERON HIGHLANDS 23 Dis. – Tindakan beberapa pemilik ladang sayur haram di sini meruntuhkan sebahagian jambatan gagal menghalang ladang mereka daripada dirobohkan oleh pihak berkuasa dalam satu operasi bersepadu hari ini.

Dalam operasi pukul 9 pagi ini, pengusaha ladang itu mencabut lantai papan jambatan sepanjang kira-kira 10 meter tetapi ia masih boleh dilalui penguat kuasa dengan meniti pada alang jambatan tersebut.

Walaupun berdepan kesukaran namun ia tidak menghalang lebih 80 anggota penguat kuasa Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) dan Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands (PDTCH) daripada merobohkan empat ladang sayur haram yang didapati mencemarkan Sungai Terla di sini.

Pegawai Daerah Cameron Highlands, Datuk Mohamad Noor Abdul Rani berkata, pihaknya terpaksa bertindak demikian selepas pengusaha ladang tersebut enggan mengosongkan kawasan itu selepas diarah berbuat demikian dalam dua siri pertemuan berasingan pada Jun dan Oktober lalu.

Beliau berkata, aktiviti membaja dan penyemburan racun di ladang itu menyebabkan air Sungai Terla yang menjadi sumber minuman penduduk Cameron Highlands terjejas teruk.

“Kami terpaksa merobohkan ladang terbabit selepas mereka berdegil mengosongkan ladang walaupun notis untuk berbuat demikian telah dikeluarkan dua bulan lalu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Mohamad Noor, 58, ladang sayur di sini dikenal pasti beroperasi secara haram dengan menceroboh tanah kerajaan negeri.

Katanya, kebanyakan pekebun sudah beroperasi berpuluh tahun lalu dan timbul masalah apabila mereka menceroboh tanah sehingga ke pinggir sungai sedangkan syarat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menetapkan jarak antara kawasan pertanian dan sungai ialah 10 meter.

“Kita telah meminta Jabatan Bekalan Air (JBA) Cameron Highlands menjalankan siasatan bagi membolehkan tindakan sama dikuatkuasakan terhadap pekebun haram lain selepas ini,” katanya.

Beliau berkata, pekebun yang beroperasi secara haram diminta mengemukakan rayuan untuk mendapatkan lesen bagi menjalankan pertanian.

“Kita juga akan membawa isu ini kepada kerajaan negeri untuk menyediakan tapak baru yang sesuai,” katanya.

-copy and paste dari Utusan Online-

Nak perjelasan sikit fakta berwarna merah.

Setahu saya intake JBA di Kuala Terla bukan untuk kegunaan seluruh penduduk Cameron Highlands, tapi untuk Kuala Terla hingga Kg Raja. Bagi kawasan lain seperti Brinchang, Tanah Rata hingga Ringlet, JBA menggunakan air dari intake lain. Boleh rujuk JBA Pahang untuk maklumat lanjut.
TERUSKAN MEMBACA...

PERLUKAN KATERING? LAWAT UNTUK PAKEJ MENARIK

Thursday, December 24, 2009

TARIKH KERAMAT TELAH TIBA

Ramai yang menantikan tarikh 25hb Disember setiap tahun. Bagi yang menyambut krismas, waktu inilah yang paling menyeronokan. Bagi sesapa yang tinggal di CH tak kira anda menyambutnya atau tidak, ia adalah salah satu tarikh keramat di Cameron Highlands.

Suasana 25hb Disember adalah sama dengan suasana pada hari raya cina, begitu ramai yang akan ke CH. Seperti tahun-tahun lepas beberapa perkara akan berlaku. Antaranya

1. Anda akan dapati begitu ramai orang, terutama pelancong asing.

2. Jalan sesak dari pada biasa. Laluan Kg Raja - Brinchang cuma 20km, tapi masa perjalanan mungkin akan jadi 2-3 jam.

3. Bandar Brinchang akan dijadikan laluan sehala.

4. Parking di bandar akan menjadi rebutan.

5. Kalau anda makan digerai/medan selera, janganlah mengharap makanan anda akan sampai cepat dan kadang kala tak tepat seperti diminta.

6. Ada apartment sewa dijual pada harga RM600 semalam berbanding hari biasa RM200 sahaja.

7. Janganlah cari nahas untuk datang ke CH, baru cari bilik hotel untuk disewa, memang takde pun.
TERUSKAN MEMBACA...

PERLUKAN KATERING? LAWAT UNTUK PAKEJ MENARIK

Wednesday, December 23, 2009

TIME TUNNEL IMBAU ERA 50an


Kawasan tanah tinggi Cameron Highlands, Pahang bukan saja terkenal dengan tanaman teh dan strawberi, malah turut menyimpan pelbagai keunikan lain yang boleh diterokai pengunjung.

Antaranya sebuah muzium milik individu dikenali sebagai Time Tunnel atau terowong masa ciptaan anak tempatan yang dibina khas untuk memperkenalkan pusat pelancongan ini kepada masyarakat luar.

Bagi pengunjung, mereka boleh berkunjung ke Time Tunnel yang dibuka pada setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 6 petang dengan bayaran RM5 bagi orang dewasa dan RM3 untuk kanak-kanak.

Menariknya, pengunjung tidak perlu gusar sekiranya hendak membawa masuk kamera kerana ia tidak dikenakan sebarang caj dan mereka bebas merakamkan apa sahaja artifak atau gambar di dalam muzium tersebut untuk tatapan sekembali ke tempat masing-masing.

Time Tunnel dengan keluasan 18.58 meter persegi ini dan terletak di Brinchang dekat sini, menempatkan lebih 1,000 artifak dan barangan lama untuk tatapan para pelancong.


Selain itu, muzium ini mampu membawa pengunjung mengimbau kenangan lama seawal era 1950-an melalui paparan pelbagai peralatan lama.

Malah paparan mengenai kehidupan Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee juga ‘disajikan’ untuk tatapan umum sebagai usaha mengenang jasa beliau.

Menurut pemiliknya, See Kok Suen, 46, idea menubuhkan muzium tersebut tercetus setelah lebih 15 tahun beliau mengembara ke merata tempat termasuk di ibu negara sebagai seorang pelukis iklan.

“Saya sering memikirkan apa yang kurangnya di sini (Cameron Highlands) dan akhirnya saya memilih untuk membina sebuah muzium tempatan mengikut kreativiti saya dan kehendak masyarakat.

“Maka, pada Januari 2007 muzium ini ditubuhkan dengan modal kira-kira RM20,000,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Kata Kok Suen, orang ramai pasti sukar mempercayai bahawa modal yang digunakan bagi mewujudkan muzium itu berbanding jumlah artifak yang dipamerkan di situ.

“Sebenarnya kebanyakan barangan yang saya pamerkan dihadiahkan rakan-rakan, selain koleksi saya sendiri sejak 15 tahun lalu. Kalau ada yang saya beli pula, harganya tidak sampai RM100,” jelasnya.

Time Tunnel turut menjadi pilihan pelancong asing kerana selain memaparkan penceritaan mengenai sejarah Cemeron Highlands yang menjadi bualan dunia, muzium berkenaan turut menyelitkan kisah misteri kehilangan Jim Thompson, seorang pelancong Eropah yang diberi jolokan ‘Raja Sutera Thai’ di kawasan peranginan ini.

Kok Suen berkata, cerita mengenai kehilangan Jim Thompson pada tahun 1967 amat popular sehingga ada pelancong dari Jepun dan Amerika Syarikat datang ke sini semata-mata untuk mengetahui kisahnya dengan lebih lanjut.

“Baru-baru ini seorang penulis dari Singapura datang ke sini dan memohon kebenaran saya menggunakan segala bahan yang dipaparkan mengenai Jim Thompson di muzium ini sebagai rujukan untuk kajiannya.

“Saya cukup terharu kerana segala usaha saya membina muzium ini mendapat pengiktirafan sebegini rupa,” jelasnya.

Tambah Kok Suen, penerimaan pengunjung akan kewujudan Time Tunnel yang dibina bersebelahan ladang strawberi Kok Lim milik sahabatnya, sudah cukup memberi kepuasan kepadanya.

Wanita yang masih bujang itu sebenarnya menyimpan impian untuk membina sebuah lagi muzium yang membawa penceritaan mengenai pengganas komunis dan Perang Dunia Kedua di kawasan sama.

“Sebahagian artifak peninggalan Perang Dunia Kedua saya peroleh daripada seorang kenalan di Britain.

“Kini, saya sedang berusaha mencari lokasi yang sesuai dan mencari lebih banyak barangan bersejarah berkaitan komunis dan Perang Dunia Kedua untuk ditempatkan di muzium itu kelak,” jelasnya.

-ehsan dari Utusan Online-

TERUSKAN MEMBACA...

PERLUKAN KATERING? LAWAT UNTUK PAKEJ MENARIK

Monday, December 21, 2009

WIFI PERCUMA DI CAMERON HIGHLANDS



Dah lama gak tak menulis kat blog aku nie. Semenjak cuti sekolah bermula, selalunya menghabiskan masa di tempat kerja, dok rumah dan amat kurang keluar. Hanya keluar apabila memenuhi tempahan katering sikit-sikit di hujung minggu. Minggu lepas sebelum awal muharam ambik cuti seminggu untuk bawak anak-anak balik kampung. Selain tu lebih baik takyah menyibuk kat pekan, buat letih jer melayan jem stroberi, ehh...silap, jem dijalan raya.

Korang nak melayari internet di Cameron Highlands? Bagi sesiapa yang ingin melayari internet FOC, antara tempat yang menyediakan ialah Starbuck dan Restoren Marrybrown di Tanah Rata. Manakala di Brinchang, bolehlah melayarinya sambil makan ayam kat Kentuki Frai Ciken (KFC). Tapi nak lepak lelama pun tak syok dah sebab orang ramai. Takkan kita beli kentang goreng sepeket, dok situ 2 jam hingga pelanggan lain tak dapat duduk kan. Zalim betul tu.

Hotel berbintang-bintang seperti EQ, Della Fern ade wifi mereka sendiri dan kalau hotel budget, nasib-nasib jugak. Dari maklumat, Hotel Rainbow kalau sesapa nak layar internet kena bayar RM5 untuk dapat password.
TERUSKAN MEMBACA...

PERLUKAN KATERING? LAWAT UNTUK PAKEJ MENARIK

Thursday, November 26, 2009

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA


Create your own banner at mybannermaker.com!
TERUSKAN MEMBACA...

PERLUKAN KATERING? LAWAT UNTUK PAKEJ MENARIK

Thursday, November 19, 2009

PAKEJ 3 HARI 2 MALAM - CADANGAN LAWATAN LOKASI MENARIK



Dua perkara yang amat sinonim di Cameron Highlands menjelang cuti sekolah ialah jalan sesak dan hujan. Amatlah ruginya jika anda membayar RM816 untuk duduk di hotel Della Fern selama 2 malam tapi tak dapat kemana-mana kerana jalan sesak dah hujan tak berhenti. Anak merengek nak strawberry milk shack di Big Red Strawberry Farm, sedangkan anda hanya terpaku di stereng kereta kerana terperangkap di kesesakan jalan raya.

Disini saya cadangkan perjalanan yang mungkin boleh dijadikan panduan ketika anda di Cameron Highlands. Walaupun begitu, perancangan ini boleh anda sesuaikan mengikut kehendak dan keadaan anda.

HARI PERTAMA

9.00 pagi - bertolak dari Kuala Lumpur (contohnya la kan!)

1.00 petang - Sampai CH dan check in di apartment Desa Anthurium (contoh lagi la kan!). Mandi dan tenangkan fikiran setelah sembuh dari mabuk akibat jalan berliku Tapah - Cameron.

3.00 petang - Jalan-jalan di Tanah Rata (cuma 1.5km jer), ada bazaar jualan kat tempat parking kereta bersebelahan Majlis Daerah Cameron Highlands. Window shopping kat gerai cenderamata yang banyak di Tanah Rata tapi jangan beli lagi sebab balik lambat lagi kan? Bawa anak-anak bermain di Taman Pertabalan Tanah Rata sambil makan goreng pisang yang boleh dibeli dekat-dekat situ. Nak makan burger pun ade!

6.30 petang - Balik ke apartment dan rehat. Solat zuhur dan asar secara jamak dan qasar. Ingat jangan tinggal solat!

8.00 malam - Makan malam di Tanah Rata. Pilihan samada stimboat di restoren Emida, ala thai di gerai Zainab Sam atau gerai Opah, sate atau yong taufu di gerai Hajah Halijah, fast food di Marrybrown, western food di restoren Buluh Perindu.

10.30 malam - Tidur dan simpan tenaga untuk perjalanan panjang esoknya.

HARI KEDUA

8.00 pagi - Sarapan di Brinchang. Banyak pilihan di medan selera seperti nasi lemak, roti canai, lontong, mee goreng, beehon goreng dan lain-lain. Datang awal sikit sebab biasanya tempat duduk penuh.

9.30 pagi - Melawat Big Red Strawberry Farm, Cactus Valley. Kedua lokasi ni bersebelahan sahaja. Boleh cuba strawberry waffle dengan strawberry milkshack. Waktu pagi dicadangkan ke sini kerana bandar Brinchang masih lagi kurang sibuk berbanding petang yang dah mula pasar malam.

11.00 pagi - Melawat Arked Peladang.

12.00 pagi - Melawat Cactus Point.

1.00 petang - Balik ke apartment dan rehat sebentar. Boleh makan tengahari di medan selera Tanah Rata atau Brinchang.

2.30 petang- Melawat Taman Agroteknologi Mardi. Waktu petang taman nie dah kurang pengunjung dan segera elakkan bandar brinchang sebab mula sesak sebab pasar malam.

4.00 petang - Melawat Ladang teh Bharat Tea Plantation.

6.30 petang - Rehat sebentar di apartment.

8.00 malam - Pergi pasar malam Brinchang. Masa nie dah tak boleh elak pasal sesak. Semua tertumpu pada waktu nie untuk shopping. Luangkan masa dan wang anda untuk shopping seperti cenderamata, jagung, bunga, sayur, madu dan lain-lain.

11.00 malam - Rehat di apartment

HARI KETIGA

8.00 pagi - Sarapan la kat mana-mana pun. Tanah Rata ke Brinchang.

9.00 pagi - Melawat Fragrance Nursery.

10.00 pagi - Membeli belah di Kea Farm.

12.00 tengahari - Balik ke Kuala Lumpur melalui Tapah. Singgah sebentar di Ladang lebah madu dan kalau rajin lagi melawat Boh Plantation di Habu, Ringlet.
TERUSKAN MEMBACA...

PERLUKAN KATERING? LAWAT UNTUK PAKEJ MENARIK

MUSIM CUTI PERSEKOLAH TELAH TIBA!

Minggu depan akan bermula musim cuti persekolahan yang panjang. Biasanya suasana di Cameron Highlands juga akan berubah. Jumlah pelancong pada hari biasa di musim cuti adalah melebihi jumlah pelancong pada hari sabtu/ahad pada luar musim cuti sekolah. Apa yang ketara ialah kesesakan jalan raya terutama pada krismas nanti. Kedai makan akan penuh dengan pengunjung dan janganlah berkecil hati sekiranya pesanan anda lambat sampai.

Blog Indahnya Cameron Highlands telah bersiaran sejak bulan April 2009 dengan memuatkan pelbagai info untuk pengunjung. Sebahagian besar tempat menarik yang mesti dikunjungi telah kami masukkan ke dalam blog. Jika ada tempat yang tidak kami masukkan, itu bukanlah bermakna tidak menarik, cuma kami tidak berkesempatan untuk mengambil gambarnya sahaja. Begitu juga maklumat mengenai hotel dan apartment sewa. Cuma satu kami ingatkan rate sewa adalah berbeza jika musim cuti persekolahan.

Blog kami juga akan kurang di update pada cuti sekolah ini. Bukan apa, biasanya warga Cameron Highlands akan menghadkan aktiviti di luar, kebanyakkan pula akan mengambil kesempatan balik ke kampung halaman.

Apa pun bagi anda yang merancang untuk ke CH pada cuti sekolah ini, kami ucapkan selamat datang dan semoga bergembira. Antara nasihat yang kami boleh berikan ialah

1. Jika anda menginap di hotel, pastikan sebaik-baiknya hotel tersebut ada tempat parking tersendiri. Ini kerana jika anda terpaksa mencari tempat parking di bandar Brinchang, selalunya penuh. Tanah Rata pula mempunyai parking yang baru dibuka dan agak luas iaitu di belakang medan selera, cuma agak jauh dari hotel. Diantara hotel yang mempunyai tempat parking luas ialah Della Fern, EQuatorial dan Heritage.

2. Jika anda menginap di apartment sewa, pastikan anda menempah terus kepada pemilik apartment tersebut. Elakkan melalui orang tengah yang dikenali sebagai "broker". Ini memastikan anda dapat kadar sewa yang lebih murah. Pengunjung muslim pula pastikan apartment tersebut adalah untuk muslim bagi memastikan tahap halal peralatan memasak.

3. Kebanyakkan gerai makanan akan dibuka 7 hari seminggu pada musim cuti sekolah. Walaupun begitu, gerai makan milik melayu tidak banyak di sini dan hanya tertumpu di medan selera. Pengunjung dinasihatkan agar datang awal jika ingin menikmati makanan di gerai/restoren kerana ditakuti meja penuh atau makanan habis. Pengunjung juga dinasihatkan mengira kembali wang baki selepas membuat pembayaran kerana kami telah menerima beberapa aduan bahawa pemilik kedai secara tidak sengaja akibat kekalutan/pelanggan ramai memulangkan baki yang kurang.

4. Jika pengunjung melintasi kedai/restoren dan diajak makan, pastikan ia adalah milik melayu. Untuk makluman, tiada satu pun kedai mamak di CH selepas restoren Rahman ditutup (walaupun baru 3 bulan beroperasi).

5. Pengunjung juga tidak digalakan memakan terus strawberry selepas dipetik tanpa dibasuh bagi memastikan ia bebas dari racun kulat. Dari maklumat, disebabkan permintaan tinggi buah tersebut pada musim cuti, ada pengusaha ladang/penjual yang tidak mematuhi penggunaan racun tersebut.

6. Pengunjung diminta merancang perjalanan ketika di CH bagi mengelakkan terperangkap pada kesesakan lalulintas. Biasanya waktu jam 10 pagi hingga 2 petang, jalan raya dari Brinchang ke Kea Farm amat sesak dan jika ini terjadi, pergilah ke lokasi lain dahulu yang kurang sesak seperti berjalan-jalan sahaja sekitar Brinchang.

7. Sila patuhi peraturan lalulintas terutama jalan sehala. Untuk makluman, jalan di Persiaran Camellia 3 berdekatan Maybank adalah jalan sehala walaupun papan tanda kurang jelas. Elakkan parking kereta anda ditempat larangan kerana polis trafik selalu memerhatikan anda.

TERUSKAN MEMBACA...

PERLUKAN KATERING? LAWAT UNTUK PAKEJ MENARIK

Monday, November 9, 2009

BAS CAMERON HIGHLANDS LEMBAB

PUTRAJAYA: Perkhidmatan bas awam henti-henti di Cameron Highlands, Pahang, dikatakan hampir lumpuh apabila pengusaha tunggal yang beroperasi di kawasan peranginan tanah tinggi itu gagal menyediakan perkhidmatan cekap.

Kegagalan itu menyebabkan penduduk terpaksa menunggu bas sehingga berjam-jam, selain keadaan bas yang tidak selesa dan selalu rosak.

Setiausaha Majlis Perwakilan Rakyat (MPR) Cameron Highlands, Suresh Kumar, berkata masalah yang berlarutan sejak 20 tahun lalu menyebabkan penduduk hilang sabar dan meminta pihak berkenaan menyelesaikan masalah itu.

Note: Masalah dari dulu lagi, monopoli dari hanya seorang pengusaha. Sebab itulah saya tak mengsyorkan pelancong mengunakan perkhidmatan tersebut.
TERUSKAN MEMBACA...

PERLUKAN KATERING? LAWAT UNTUK PAKEJ MENARIK

Wednesday, November 4, 2009

DUA PEMANDU LORI MAUT DALAM KEMALANGAN

IPOH: Dua pemandu lori terbunuh apabila kenderaan yang mereka pandu terbabit dalam kemalangan di Kilimeter 54 Jalan Ipoh-Cameron Highlands dekat Keramat Pulai di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, yang terbunuh dalam kejadian jam 9.30 malam itu ialah S.Rajenthrian, 44, berasal dari Cameron Highlands dan Abdullah Yahya, 47, dari Kuala Kedah, Kedah.

"Kedua-duanya mengalami cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat," katanya.

Azisman berkata, kejadian itu berlaku ketika lori yang dipandu Rajenthrian dalam perjalanan dari Ipoh ke Cameron Highlands terbabas lalu memasuki laluan kanan dan bertembung dengan lori yang dipandu Abdullah.

Akibat kejadian kedua-dua kenderaan itu remuk di bahagian depan dan kedua-dua mangsa yang tersepit di celah kenderaan.-Bernama

p/s: Had laju kawasan tu cuma 60km/jam dan selalu gak polis buat perangkap laju.

TERUSKAN MEMBACA...

PERLUKAN KATERING? LAWAT UNTUK PAKEJ MENARIK

PENGUSAHA BUNGA DAKWA RUGI BESAR


IPOH 3 Nov. – Kira-kira 400 pengusaha ladang bunga di Kampung Raja, Cameron Highlands mendakwa mereka mengalami kerugian besar akibat bekalan elektrik yang sentiasa terputus sejak 22 Oktober lalu.

Setiausaha Eksekutif Pertubuhan Pengusaha Bunga-Bungaan Cameron Highlands, Yong Leong Meng berkata, masalah bekalan elektrik yang sering terputus di kawasan tersebut juga menyebabkan 3,500 penduduk sekitar terpaksa bergelap dan menyukarkan urusan seharian mereka.

“Sejak kali pertama bekalan elektrik terputus pada 22 Oktober lalu, kami telah membuat aduan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) Tanah Rata. Ini bukan kali pertama masalah ini berlaku.

“Bekalan elektrik kadangkala ada dan pernah hampir satu hari tidak ada bekalan elektrik. Bila kita buat laporan kepada TNB, sampai sekarang pihak mereka tidak datang melihat masalah ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Leong Meng mendakwa, masalah bekalan yang sering terputus itu telah menyebabkan tanaman bunga kekwa yang diusahakan oleh sebahagian peladang rosak dan tidak dapat dipasarkan.

Malah katanya, mereka juga terpaksa melakukan kerja-kerja membasuh tomato secara manual kerana mesin automatik khas tidak dapat berfungsi.

“Bunga kekwa memerlukan pencahayaan selama empat jam setiap hari. Bila tidak mendapat cahaya yang cukup, pokok-pokok ini akan layu dan mati.

“Jadi kita tidak akan dapat pasarkan bunga tersebut sedangkan kita adalah pengeksport bunga kekwa terbesar ke Jepun. Jika masalah ini berlaku, pasaran eksport kita akan terjejas,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar TNB Negeri Pahang, Datuk Mohd. Rumai Abdullah ketika dihubungi di sini mengesahkan menerima laporan daripada pihak pengusaha ladang terbabit.

Menurut beliau, pihaknya telah menjalankan siasatan dan mendapati kekerapan gangguan bekalan elektrik terputus di Kampung Raja itu adalah disebabkan oleh beberapa punca yang tidak dijangkakan.

Gangguan bekalan yang berlaku pada 22 Oktober lalu katanya, disebabkan oleh talian atas tidak bersalut (ABC) yang terputus digigit musang dan pokok tumbang di atas talian TNB.

Menurutnya, TNB telah telah menjalankan kerja-kerja membaik pulih di kawasan berkenaan.

“Untuk jangka pendek, kita telah membaiki semua talian ABC yang rosak tersebut. Bagi jangka masa panjang pula, pekerja-pekerja TNB akan sentiasa melakukan rondaan dan melakukan kerja-kerja rentis talian iaitu memotong pokok-pokok yang mengganggu talian.

“Saya harap penduduk dan pengusaha ladang di kawasan terbabit dapat bersabar. Kerja-kerja membaik pulih mengambil masa kerana keadaan cuaca dan kedudukan talian TNB yang berada di keadaan muka bumi yang sukar untuk dilalui,” katanya.

Bagaimanapun jelas Mohd. Rumai, TNB akan sentiasa berusaha mempercepatkan proses pembaikan kerosakan tersebut demi kepentingan pengguna.

TERUSKAN MEMBACA...

PERLUKAN KATERING? LAWAT UNTUK PAKEJ MENARIK

Thursday, October 29, 2009

PAKEJ PELANCONGAN ORANG ASLI



-copy & paste from Harian Metro-

PERNAHKAH anda mencuba ikan bersama nasi yang dimasak dalam buluh? Tanpa perisa tambahan dan perahan rempah ratus, aroma ikan sungai segar seperti Kelah yang dibalut pokok hutan, Renting ini, mampu membangkitkan selera.

Beras pula dimasak dalam bungkusan kecil menggunakan daun Ler yang lebih panjang memudahkan pembahagian nasi kepada ahli keluarga dan jiran. Siap dimasak, hidangan ini kelihatan seperti nasi himpit, cuma dalam bungkusan lebih besar.

Cara hidup tradisional tanpa kebergantungan peralatan moden dalam menjalankan kehidupan seharian ini menjadi tarikan pelancong yang menyertai pakej pelancongan Orang Asli di Cameron Highlands, baru-baru ini.

Namun, konsep pelancongan ini tidak memerlukan anda bermalam bersama penduduk, sebaliknya lebih menjurus kepada lawatan ke perkampungan Orang Asli sambil menyelami cara hidup dan budaya diwarisi daripada nenek moyang mereka.
Peserta akan dibawa mengunjungi dusun buah-buahan, belajar menangkap ikan dan menggunakan sumpit. Mereka berpeluang merentas denai hutan untuk melawat air terjun sambil mengenal tumbuhan herba seperti Tongkat Ali, Kacip Fatimah dan bunga terbesar dunia, Rafflesia.

Seakan tidak lengkap pakej ini tanpa menyaksikan persembahan sewang sambil diiringi alunan muzik tradisional menggunakan buluh. Sama ada dalam rumah atau ruangan terbuka, persembahan ini lazimnya boleh berlanjutan sehingga beberapa jam.

Pakej ini yang hampir sama dengan konsep homestay akan meliputi 16 pakej menarik termasuk perkampungan Orang Asli di Cameron Highlands, Taman Negara, Kuala Tahan, Tasik Chini, di Pahang selain Hutan Belum, Perak dan Sungai Nenggiri di Kelantan.

Lokasi itu dipilih berdasarkan kemudahan laluan ke perkampungan masyarakat itu serta keterbukaan mereka menerima masyarakat luar serta wujudnya pelbagai tarikan dan aktiviti untuk pengunjung.

Cameron Highlands terkenal dengan cuaca sejuk pergunungan, pemandangan indah ladang teh, kebun sayuran dan buah-buahan, manakala Taman Negara dengan laluan titi gantung di tengah kehijauan hutan hujan tertua di dunia.

Sungai Nenggiri di pedalaman Kelantan menjadi lokasi terbaik untuk aktiviti lasak seperti berakit arus deras atau white water rafting, memancing, penerokaan tapak arkeologi, dan terbaru merentas denai untuk melihat lokasi suci gajah mati.

Lokasi lain seperti Tasik Chini dan Taman Negara Endau Rompin di Pahang atau Hutan Belum di Perak pula menawarkan tarikan pengalaman berkayak di tasik air tawar dan kembara pacuan empat roda denai untuk menyaksikan aktiviti hidupan liar dalam habitat semula jadinya.

Sekurang-kurangnya, kebanjiran pelancong terutama warga asing ke destinasi pelancongan ini turut membuka peluang penyertaan Orang Asli dalam sektor pelancongan, sekali gus menyumbang peningkatan taraf hidup masyarakat itu.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, berkata pelancong dari Jepun, Korea, Singapura, Hong Kong, Jerman dan United Kingdom lebih tertarik dan menghargai gaya hidup dan warisan masyarakat Orang Asli seluruh dunia termasuk Malaysia.

"Ini kerana negara maju menganggap masyarakat Orang Asli serta kehidupan tradisional mereka sangat eksotik dan menarik untuk dilawati," katanya selepas pelancaran Pakej Pelancongan Orang Asli Malaysia di Kampung Sg Ruil, Cameron Highlands, baru-baru ini.

Majlis pelancaran program anjuran Tourism Malaysia ini disempurnakan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah. Turut berangkat, Tengku Puan Pahang, Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Program itu turut menampilkan kehalusan topeng masyarakat Mah Meri dari Pulau Carey, Selangor yang diiktiraf sebagai antara warisan kraftangan dunia oleh Unesco, penghasilan beliung oleh kaum Semai dan demonstrasi pembuatan kraftangan daripada hasil rimba.

INFO

>Pakej pelancongan Orang Asli meliputi tarikan ekopelancongan utama negara. Di Pahang, ini meliputi Taman Negara Kuala Tahan dan Pusat Konservasi Seladang di Kuala Krau, Cameron Highlands, Tasik Chini dan Taman Negara Endau Rompin. Untuk maklumat lanjut mengenai pakej pelancongan Orang Asli di seluruh Malaysia, layari www.tourism.gov.my.

>Mengikut perangkaan terkini, ada 140,000 Orang Asli di seluruh negara. Jika masih kabur dengan cara hidup masyarakat yang terbahagi kepada kaum Senoi, Negrito dan Proto-Melayu ini, kunjungi Muzium Orang Asli (03-61892122) di Gombak, Selangor.

Muzium dikendalikan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli ini mempamerkan koleksi peralatan pemburuan dan pertanian, pakaian, perhiasan dan cenderamata komuniti. Masuk adalah percuma.

RUJUKAN PERCUTIAN

Tourism Malaysia

Tel: 03-2615 8188 /

Faks: 03-2693 5884 / 2693 0207

Talian Pelancongan: 1-300-88-5050

TERUSKAN MEMBACA...

PERLUKAN KATERING? LAWAT UNTUK PAKEJ MENARIK

SEJUKNYA MALAM TADI!

Cameron Highlands mengalami hujan tanpa henti sejak petang semalam, menjadikan malam tadi cukup sejuk. Suhu yang dicatatkan ialah 14 darjah celcius. Pagi nie dah berhenti tapi muka matahari dah 3 hari tak kelihatan. Semoga hari nie mentari akan bersinar kembali, walaupun sedikit pun cukuplah. Dah naik kembung perut aku sebab masuk angin kerana kesejukan.



-gambar bukan diambil pada hari semalam sebab semalam takde kabus pun, tapi kalau berkabus di sini taklah sejuk sangat-
TERUSKAN MEMBACA...

PERLUKAN KATERING? LAWAT UNTUK PAKEJ MENARIK

Tuesday, October 27, 2009

ISU HARGA KOBIS SELESAI

CAMERON HIGHLANDS 25 Okt. - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bersetuju menaikkan harga tawaran belian kobis daripada 60 sen kepada 75 sen sekilogram sekali gus melegakan lebih 300 pekebun sayuran tersebut.

Ketua Pengarah FAMA, Datuk Mohamed Shariff Abdul Aziz berkata, tawaran harga itu berkuatkuasa serta-merta dan pihaknya juga akan mengambil beberapa langkah segera bagi mengawal harga sayur kobis daripada terus menjunam.

''Kita telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang melibatkan FAMA, wakil pertubuhan serta pekebun sayur ini untuk berbincang dan mengumpulkan data mengenai jumlah pengeluaran bagi satu-satu masa.

''Selain itu, FAMA akan menggiatkan usaha membendung kemasukan kobis bulat dari negara luar yang melebihi jumlah import yang dibenarkan,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis dialog antara FAMA dengan Pertubuhan Pekebun Sayur-Sayuran Cameron Highlands di Brinchang di sini hari ini.

Hadir sama pada sesi dialog itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk S.K. Devamany dan Setiausaha Pertubuhan Pekebun Sayur-Sayuran Cameron Highlands, Chay Ee Mong.

Mohamed Shariff berkata, FAMA bersedia membantu pekebun-pekebun sayur kobis terbabit memasarkan terus sayuran mereka di pasar-pasar tani di seluruh negara selain menyediakan lot jualan khas untuk pertubuhan itu di Kompleks Terminal Makanan Negara (Teman) di Simpang Pulai kira-kira 80 kilometer dari sini.

''Saya yakin jika pekebun di sini mampu memasarkan sendiri melalui pasar tani, orang ramai berpeluang mendapat sayuran segar dengan harga yang lebih murah.

''FAMA juga akan membuat kajian menyeluruh mengenai jumlah AP kobis ketika ini dan jika bekalan yang diterima daripada Cameron Highlands melebihi dari biasa, jumlah yang dibenarkan diimport seharusnya dikurangkan,'' katanya.

Sementara itu, Ee Mong berkata, tawaran baru FAMA itu dapat membantu masalah kejatuhan harga kobis yang dialami para pekebun.

''Khamis lalu, FAMA hanya sanggup membeli kobis pada harga 60 sen sekilogram. Tawaran harga baru ini memang berita yang kita nanti-nantikan," katanya.
TERUSKAN MEMBACA...

PERLUKAN KATERING? LAWAT UNTUK PAKEJ MENARIK

REZEKI DISEBALIK DURI KAKTUS

CAMERON Highlands 25 Okt. – Perusahaan tanaman kaktus mempunyai masa depan yang cerah di negara ini. Disebabkan itulah maka sudah ada petani yang menjadikan tanaman kaktus sebagai sumber pendapatan kepada keluarga.

Bagi Mohd. Hendry Hasiman, 42, dia berminat dengan penanaman kaktus kerana ia mudah dijaga.

Pengusaha tanaman itu mempunyai lebih 200 jenis pokok kaktus yang ditanam di sini sejak menceburi bidang itu 10 tahun lalu.

“Saya dan isteri, Shima Arman, 44, minat dengan tanaman kaktus kerana ia mudah membiak dan tahan panas cahaya matahari.

“Pokok kaktus jenis King Kaktus mudah tumbuh dan boleh dipasarkan dalam tempoh setahun selepas ia ditanam,” katanya ketika ditemui di Brinchang di sini baru-baru ini.

Menurut Mohd. Hendry, benih pokok kaktus yang ditanamnya diperoleh dari Thailand.

Jelasnya, pokok kaktus tidak memerlukan bekalan air yang banyak kerana ia hanya perlu disiram sekali seminggu.

Dia bersyukur kerana dapat menjual kaktus yang diusahakan itu di pasar tani anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) pada setiap hari Ahad.

“Sambutan di kalangan peminat kaktus begitu membanggakan terutama pada musim cuti sekolah,” katanya.

Jelas Mohd. Hendry, setiap anak kaktus dijual dengan harga RM1 hingga RM1.50.

“Kalau peminat beli secara pakej yang mengandungi tujuh pokok kaktus, ia dijual dengan harga RM10,” katanya.

Bagi kaktus yang bersaiz besar, ia dijual dengan harga RM10 bagi tiga pokok.

Sementara itu, seorang peminat kaktus dari Melaka, Warith Mohammad, 27, berkata, dia gemar menanam kaktus kerana ia merupakan hiasan yang menarik.

“Saya tertarik apabila melihat pokok kaktus yang terdapat di sini,” katanya.

Jelasnya, bunga kaktus dalam pelbagai warna menarik dijadikan hiasan di halaman rumah.

Menurut Warith, selain menarik harga pokok kaktus juga murah dan mudah diperoleh.

Seorang lagi peminat kaktus, Azizah Othman, 35, berkata, dia berminat dengan tanaman kaktus kerana bunganya yang menarik.

Wanita itu yang menanam pelbagai jenis kaktus di rumah, membeli tanaman itu setiap kali mengunjungi kawasan ini.

“Saya tertarik dengan kaktus kerana ia begitu unik dan senang dijaga berbanding dengan pokok bunga yang lain,” katanya.

TERUSKAN MEMBACA...

PERLUKAN KATERING? LAWAT UNTUK PAKEJ MENARIK

Wednesday, October 21, 2009

HARGA KUBIS TERLALU RENDAH


IPOH - Pertubuhan Pekebun Sayur-Sayuran Cameron Highlands mengancam akan melonggokkan ribuan kubis bulat di depan pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) jika harga sayur itu masih kekal 30 sen hingga 40 sen sekilogram sehingga hujung minggu ini.

Ia dianggap langkah terakhir kira-kira 300 penanam sayur itu sebagai tanda protes mereka terhadap dakwaan FAMA gagal membantu para pekebun yang semakin terdesak menanggung kos pengurusan ladang yang tinggi.

Setiausaha pertubuhan itu, Chay Ee Mong berkata, tindakan kerajaan mengimport kubis murah telah menjejaskan periuk nasi mereka.

"Kami sudah tiada pilihan, daripada biar kubis busuk di ladang lebih baik kami campak ke pejabat FAMA,'' katanya ketika dihubungi semalam.

Harga borong sebiji kubis di ladang sekarang hanya 30 sen hingga 40 sen berbanding dulu sampai 80 sen.

"Macam mana kami nak untung kalau kos pengeluaran sebiji kubis pun sudah 80 sen,'' katanya.

Pertubuhan itu menyalahkan FAMA kerana tindakan agensi itu mengimport lebih 4,000 metrik tan kubis murah dari Indonesia dan China telah menyebabkan harganya merudum di pasaran.

p/s: kat bawah aku tengok harga kubis okey jer....RM1.50 hingga RM2.50

TERUSKAN MEMBACA...

PERLUKAN KATERING? LAWAT UNTUK PAKEJ MENARIK

TJ nur TRAVEL & TOUR SDN BHD

Satu lagi agensi pelancongan yang boleh memberikan perkhidmatan pandu pelancong ialah TJ nur Travel & Tour Sdn Bhd. Beroperasi di Persiaran Camellia 3, bersebelahan Cameron Optical dan amat mudah untuk ditemui. Kalau tak silap saya pemiliknya adalah orang melayu.

TJ menyediakan banyak pakej pelancongan yang boleh anda ambil jika malas nak jalan sesorang kat Cameron nie. Antara pakej tersebut ialah D'Highlander Explorer (RM118.00/adult), Gurung Brinchang Adventure (RM50.00/adult), Sight Seeing Tout (RM25/adult).

TJ juga menyediakan perkhidmatan sewa apartment, tempahan hotel dan sewa motosikal pada harga berpatutan. Sesiapa berminat untuk menggunakan perkhidmatan agensi tersebut bolehlah berhubung di alamat

TJ nur TRAVEL & TOUR SDN BHD
No. 68A, Persiaran Camellia 3,
Bandar Baru Juta Villa,
39000 Tanah Rata
Cameron Highlands.






TERUSKAN MEMBACA...

PERLUKAN KATERING? LAWAT UNTUK PAKEJ MENARIK

Monday, October 19, 2009

EQ STRAWBERRY FARM

Nama tempat: EQ Strawberry Farm. EQ tu maksudnya Hotel Equatorial.
Lokasi: Bersebelahan dengan Hotel Equatorial.
Tiket: Percuma
Apa yang menarik: Self plucking (strawberry petik sendiri), kalau setakat nak makan strawberry tokeh petik, beli jer kat Kea Farm (5 minit jalan kaki dari sini).

Pintu masuk Hotel EQ



Papan tanda masuk ke EQ Strawberry Farm.



Pick your own strawberry....tapi kena bayar la....harga? Lebih mahal dari yang jual dah siap petik tu!



Jualan produk Cameron.



Produk nie kat bawah pun berlambak kan? Harga sini lebih mahal ler......







Bag cendawan lingzi.

,
TERUSKAN MEMBACA...

PERLUKAN KATERING? LAWAT UNTUK PAKEJ MENARIK

Friday, October 16, 2009

INFO MENARIK MENGENAI CAMERON HIGHLANDS



Sedikit info mengenai Cameron Highlands.


CAMERON Highlands cukup terkenal sebagai pusat peranginan tanah tinggi di Malaysia. Terletak di barat daya Pahang, pusat peranginan ini kaya dengan khazanah semula jadi serta keunikan flora dan fauna. Keindahan Cameron Highlands tidak pernah pudar malah terus memukau siapa saja.

Cameron Highlands mendapat nama selepas seorang pegawai Inggeris, William Cameron menemui tanah tinggi itu ketika sedang melakukan tinjauan pemetaan pada 1885.

INFO:
  • Cameron Highlands berkeluasan 71,218 hektar dengan populasi penduduk melebihi 32,000 orang.
  • Mencapai ketinggian 1,230 meter dari aras laut dengan suhu purata 19.8 darjah selsius.
  • Puncak tertinggi terletak di Gunung Brincang dengan ketinggian 2,000 meter dari aras laut.
  • Bandar utama Tanah Rata (pusat pentadbiran), Brincang dan Kea Farm (kawasan tumpuan pelancong), Ringlet, Tringkap, Kuala Terla serta Kampung Raja (kawasan ladang).
  • Penempatan kaum Melayu pertama, Kampung Taman Sedia di lembah antara Tanah Rata dan Brinchang menawarkan pakej penginapan homestay.
Tarikan:
  • Taman Agro Teknologi Mardi (TATM).
  • Gunung Lumut, Taman Flora, Hutan Lipur Parit Fall.
  • Ladang teh: Brincang dan Sungai Palas.
  • Taman bunga Cactus Point iaitu 500 meter dari Kea Farm, Rose Centre, Rose Valley.
  • Kebun buah strawberi dan taman rama-rama.
  • Aktiviti redah hutan.
  • The Smoke House, The Lake House dan Strawberry Park.
  • Homestay Kampung Taman Sedia, Tanah Rata.
TERUSKAN MEMBACA...

PERLUKAN KATERING? LAWAT UNTUK PAKEJ MENARIK

Thursday, October 15, 2009

ROSE VALLEY



Nama tempat: Rose Valley
Lokasi: Di Tringkap (14 km dari Tanah Rata menghala Kg Raja atau 8 km dari Brinchang)
Tiket: RM4.00 dewasa dan RM2.00 kanak-kanak
Apa menariknya: Aku pun tak pernah masuk! Pasal kalau kena tiket aku takkan masuk, tak berapa minat....kalau korang cubalah masuk...tengok-tengok bunga ros.

Pintu masuk merangkap tempat beli tiket.



Madu dijual kat depan pintu masuk.



Bunga rose.....



Produk dari Cameron Highlands.



Sepanjang pekan Tringkap, banyak gerai menjual produk Cameron Highlands. Pilih sahaja mana satu.







TERUSKAN MEMBACA...

PERLUKAN KATERING? LAWAT UNTUK PAKEJ MENARIK

MUZIUM LEBAH (BEE MUSEUM)



Nama Tempat: Muzium Lebah (Bee Museum)
Lokasi: Pekan Tringkap (bersebelahan Rose Valley) - tepi jalan besar, lebih kurang 8 km dari Brinchang menghala Kg Raja.
Tiket: Masuk Percuma
Apa yang menarik: Jualan cenderamata, produk hasilan lebah, panduan mengenai penternakan lebah.

Produk dari lebah untuk jualan





Pintu masuk ke Muzium Lebah, masuk percuma jer....



Antara spesis lebah yang dipamerkan. Tapi dah mati kat dalam kaca tu.



Kumbang kepala kuning



Kumbang tukang hijau.



Tebuan Tanah.



Tebuan Gergasi Hitam



Tebuan biasa.



Lebah hutan.



Lilin lebah.



Panduan menternak lebah. Mungkin cara susunan sarang dalam kotak lebah.







Lebah Itali





Lebah Brazil









Kotak lebah di luar muzium.



Gerai jualan cenderamata.

TERUSKAN MEMBACA...

PERLUKAN KATERING? LAWAT UNTUK PAKEJ MENARIK

JUMLAH PELAWAT

Freelance Writer Needed
Freelance Writer Needed