Thursday, April 30, 2009

MAJLIS PERKAHWINAN DI CAMERON HIGHLANDS


Esok dah pun 1 Mei, maknanya hujung minggu nie agak panjang jugak cuti. Biasanya agak ramailah pelancong yang datang. Kebanyakkan member yang buat sewa apartment tersenyum lebar, sebab semua apartment diaorang penuh.

Bagi warga tetap Cameron Highlands yang takde apa-apa aktiviti nak dibuat dan terutama sekali yang bujang, bolehlah dengar-dengar pengumuman masa nak solat jumaat esok. Biasanya akan ada jemputan makan free, maknanya kenduri orang kahwin la....



Dah jadi tradisi kat Cameron Highlands nie, kalau kenduri kahwin, tuan rumah akan jemput semua orang. Kenal atau tak, semua kena jemput. Biasanya kad jemputan tu akan di edarkan kesetiap pejabat kerajaan di Cameron Highlands. Jadi tanggungjawaplah sesapa kat pejabat tu, tampal kad pada papan kenyataan. Bila dah dekat sangat tarikh kenduri tu, diumumlah masa nak solat jumaat oleh bilal.

Bagi yang kenal sapa pengantin tu senanglah, tapi yang tak berapa kenal, kenalah juga pergi. Biasanya pergilah beramai-ramai ke majlis kenduri tu, jangan kira dulu sapa tuan rumah dan pengantinnya. Apa yang penting makan dulu. Masa nak balik dan nak salam bagi duit tu, barulah kenal, ini rupanya tuan rumah. Kadang tu tiap-tiap hari jumpa kat pasar ke, kedai ke, tapi tak tahu nama.

Itulah indahnya Cameron Highlands, setiap kenduri kahwin akan melibatkan semua orang. Masa itulah kalau masak secara gotong royong, kami berkenal-kenalan. Walaupun majlis kenduri tu dijemput semua warga Cameron, agak jarang kedengaran lauk tak cukup. Ramai macam mana pun yang datang mesti cukup untuk semua. mungkin itulah berkat namanya!

Oklah, pihak Blog IndahnyacameronHighlands ingin mengucapkan selamat pengantin baru pada Marziana Binti Zainal Abidin dan pasangannya Mohd Hafiz Bin Abd Azib yang akan melangsungkan perkahwinan pada 2 Mei ini. Majlis akan diadakan di rumah keluarga pengantin perempuan di Taman Sedia. Aturcara majlis berlangsung dari 12 tengahari hingga 3 petang.

Semoga berkekalan hingga ke akhir hayat.

TERUSKAN MEMBACA...

PERLUKAN KATERING? LAWAT UNTUK PAKEJ MENARIK

Wednesday, April 29, 2009

KEBERANGKATAN KDYMM SULTAN PAHANG KE CAMERON HIGHLANDS DITANGGUHKAN



Maklumat yang baru diterima pada pukul 2.30 petang tadi memaklumkan bahawa keberangkatan KDYMM Sultan Pahang ke Cameron Highlands yang dijadual dari 30 April 2009 hingga 3 Mei 2009 telah ditangguhkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakan.

Impikasinya?

1. Tak jadilah nak tengok konsert dan pertunjukan bunga api.
2. Jamuan minum teh pun tak jadi, ingatkan boleh makan free..
3. Bagi sesapa nak pergi Cameron Highlands, teruskan je hajat tu, dan bagi sesapa masih tak dapat tempat penginapan, bolehlah mencuba nasib lagi sekali, sebab mesti ada yang kensel.

Jadi...datanglah ke Cameron Highlands.
TERUSKAN MEMBACA...

PERLUKAN KATERING? LAWAT UNTUK PAKEJ MENARIK

STRAWBERRY PETIK SENDIRI



Pada hari had yang lepas, terasa pulak nak makan strawberry celup coklat. Aku pun tak tahu bila terakhir aku beli strawberry, rasanya dah lama dah. Masa pindah ke Cameron Highlands, hampir setiap hari beli, pantang tengok orang jual kat mana-mana. Tapi sekarang dah kurang dan bila rasa-rasa nak makan sangat baru beli. Hari-hari makan sakit perut nanti....

Kalau beli strawberry, lebih baik dengan tempat yang kita percaya. Percaya pasal apa? Pasal dia guna racun ke tak la...Maklumlah nak makan strawberry segar kena tengok dulu pasal racun nie. Ada buah besar, cantik, segar tapi baru semalam sembur racun, tokeh dah jual. Hakikat yang korang kena terima pasal strawberry nie ialah penggunaan racun kulat memang ada. Cuma guna banyak atau tak jer. Dan kalau korang beli, baik jangan amalkan makan terus tanpa dibasuh. Kecualilah korang kenal tokeh tu memang seorang yang telus dalam aspek pengunaan racun.



Ahad lepas aku pergilah tempat yang selalu aku pergi. Ladang dia nie kat Taman Sedia, berdekatan dengan Surau Taman Sedia. Kalau korang nak ke sini, masuk Taman Sedia, cari surau. Ada 2 ladang di hadapan surau dan ladang yang aku maksudkan bukannya betul-betul dihadapan surau, tapi ke dalam sikit. Alaaa....aku nak cerita susah la pulak, korang cari jer papan tanda macam kat gambar dibawah.



Kaunter jualan dengan seorang bangla berposing sakan.



Deretan pokok strawberry yang ditanam secara Fertigasi Titis Dan Berbantal (aku cuma ikut apa yang Mardi kata je...)



Pokok strawberry dengan buahnya. Pokok kat sini masih baru, jadi buah agak besar jugak.



Keindahan ciptaan Allah....buah strawberry.



Kat ladang nie, buah strawberry kita kena petik sendiri. Ada 2 saiz tray plastik disediakan untuk Rm12 (besar) dan Rm6 (kecil). Aku ambik yang besar la....bila timbang adalah 600gram. tapi bangla tu tak tahu, dah 400gram masuk perut masa petik tadi.



Ini peta untuk ke sana. Pasal peta nie aku tak berapa mahir sikit, kira bolehlah kot peta nie.



View Untitled in a larger map

TERUSKAN MEMBACA...

PERLUKAN KATERING? LAWAT UNTUK PAKEJ MENARIK

Tuesday, April 28, 2009

PASAR TANI DI CAMERON HIGHLANDS

Seperti ada kekurangan jika sesuatu tempat yang sering dikaitkan dengan aktiviti pertanian tidak mempunyai pasar tani. Cameron Highlands juga tidak terlepas dengan tanggapan begitu. Pasar tani di Cameron Highlands diadakan seminggu sekali pada setiap hari ahad bermula dari 7.00 pagi hingga 2.00 petang. Tapak pasar tani ini adalah sama dengan tapak pasar malam, jadi menariknya ialah pengunjung boleh membeli dari malam hingga ke malam esoknya!.

Untuk mencari lokasi pasar tani amatlah mudah, cuma ditepi jalan besar, betul-betul di hadapan Ibupejabat Polis Cameron Highlands di Brinchang. Bagi sesiapa yang menginap di Hotel Star Regency, jarak pasar tani hanyalah lebih kurang 50-60meter sahaja.

Pasar tani ini berkonsepkan Pasar Tani Pelancongan. Ini bermakna pengunjungnya adalah disasarkan kepada pelancong. Kenyataan ini mungkin benar kerana warga Cameron agak jarang kesana, mungkin dah biasa sangat dengan apa yang dijual.

Kebanyakan barang yang dijual seperti strawberry, jagung, bunga dan teh adalah agak murah berbanding yang dijual di gerai/kiosk. Yang pastinya tawar dulu harga tu sebelum bayar. Kalau beli banyak boleh minta kurang harga lagi.

Jom kita tengok apa yang ada.....



Pandangan dari jalan raya, parking je kereta kat tempat yang disediakan. Pada waktu cuti, jalan disini agak sesak jugak le...



Gerai menjual produk Cameron Highlands.



Jualan key-chain dan cenderamata. Kebanyakan cenderamata di sini warna merah.



Jualan bunga secara borong, murah je tu...



Jagung mutiara, salah satu identiti Cameron Highlands.



Ubi keledek madu



Ini yang dikatakan jambu kristal, orang Cameron panggil jambu jeruk. Makan banyak sakit tekak sebab direndam dengan air gula dan pengawet.



Madu lebah yang diternak di Cameron Highlands. Ladang dia boleh dilawati di Jalan Boh, Ringlet.



Cenderamata dari Cameron Highlands seperti kotak tisu, bantal, beg dan semuanya warna merah.



Baju bandel pun ada, pengunjung yang tak tahan sejuk boleh beli baju sejuk kat sini, murah je tu.



Lagi gerai menjual key-chain.



Jualan sayuran bergantung pada saiz bungkusan, ada 11 bungkus RM10, 6 bungkus RM10, dan macam macam lagi. Kalau beli jangan lupa minta lebih, jangan ikut sangat kuantiti tu.



Jadi, selamat datang ke Cameron Highlands.

TERUSKAN MEMBACA...

PERLUKAN KATERING? LAWAT UNTUK PAKEJ MENARIK

Monday, April 27, 2009

KEBERANGKATAN KDYMM SULTAN PAHANG KE CAMERON HIGHLANDS



Pada hujung minggu ini, seluruh warga Cameron Highlands amat berbangga kerana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Must'ain Billah Ibni Al Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al Muad'zam Shah akan berangkat ke Cameron Highlands. Baginda dijadualkan tiba pada 30hb April 2009 dan berangkat pulang pada 3hb Mei 2009. Banyak program yang diadakan sempena keberangkatan Baginda kali ini.

Antaranya ialah



1. Penyerahan Hak Milik Strata Apartment Puncak Arabella
Tempat: Apartment Puncak Arabella
Tarikh: 1hb Mei 2009
Waktu: 9.00 pagi

2. Majlis Jamuan Teh
Tempat: Padang Majlis Daerah Cameron Highlands
Tarikh: 2hb Mei 2009
Waktu: 4.00 petang

3. Konsert dan Pertunjukan Bunga Api
Tempat: Padang Majlis Daerah Cameron Highlands
Tarikh: 2hb Mei 2009
Waktu: 8.30 malam

Memandangkan tarikh tersebut adalah cuti umum Hari Pekerja, maka dijangkakan sedikit "kesibukan" akan berlaku. Tetapi pengunjung tidak perlu risau kerana Baginda berangkat ke Cameron Highlands menggunakan Helikopter dan kalau jalan sesak sekali pun diwaktu-waktu acara tersebut diantara penginapan Baginda ke tempat acara berlangsung.

Pengunjung perlu bijak mengatur masa perjalanan dan tempat yang mana harus dilawati terlebih dahulu. Kebanyakan acara berlangsung di Tanah Rata, maka jika tempat tersebut sibuk, pengunjung bolehlah ke tempat lain seperti Kea Farm.

Menariknya ialah semasa Baginda Di Cameron Highlands, semua kedai/tempat menarik akan dibuka, jadi pengunjung akan mempunyai banyak tempat untuk dilawati.

Hotel dan tempat penginapan? Minta maaflah sebab kalau masa nie baru nak cari, memang susah dapat, ramai pengunjung dah booking sebulan lepas lagi.

Jadi datanglah ke Cameron Highlands pada masa tersebut sambil menikmati pertunjukan bunga api. Walaupun pertunjukan itu mungkin tak sehebat ditempat lain, tapi mungkin ia satu kenangan yang tak dapat anda lupakan.

Gambar dibawah ialah Padang Majlis Daerah Cameron Highlands, tempat acara berlangsung.



TERUSKAN MEMBACA...

PERLUKAN KATERING? LAWAT UNTUK PAKEJ MENARIK

Friday, April 17, 2009

CAMERON APPLE



Kalau bercakap mengenai produk dari Cameron Highlands, mesti korang teringat strawberry, teh dan bunga-bungaan. Tapi indahnya Cameron Highlands ialah korang juga akan jumpa benda-benda yang boleh dianggap pelik la jugak. Dan hakikat sebenarnya ialah benda-benda pelik tu hanya dicipta untuk menjadikan Cameron Highlands adalah unik.

Salah satu produk pelik di Cameron Highlands ialah sejenis buah yang dinobatkan sebagai Apple Cameron. Entah sejak bila Cameron nie ada buah apple pun aku tak tahu. Lagi pelik ialah macam mana buah tu boleh jadi apple sedang rupa apple pun takde iras-iras dia.



Kalau korang nak tahu, nama saintifik buah tu ialah Solanum Muricatum. Buah nie memang hanya sesuai tumbuh di kawasan suhu sederhana. Kalau kat negara luar dia lebih mudah dipanggil Pepino atau Melon Pear. Buah nie berasal dari keluarga Solanaceae dan banyak ditanam di Amerika Selatan seperti di Peru dan Chile.

Pokoknya boleh mencecah 1 meter tinggi dan buahnya apabila masak berwarna kuning krim dengan jalur purple.

Rasanya? Kalau korang datang Cameron boleh beli dan rasa sendiri. Kalau aku kata sedap, tapi korang kata tak sedap nanti, susah la pulak.

Harga? Kalau jual dah siap bungkus dalam 2/3 biji dalam Rm4.00, kalau jual kilo boleh dapatlah RM8.00 - RM10.00 sekilo.

Ini gambar buah tu dan yang dah siap belah. Lebih kurang macam tu la isi dia.





Ini gambar bunga dia, cantik la jugak.



Jadi, jangan lupa menikmatinya jika bertandang ke Cameron Highlands, kalau tak suka rasanya pun anggaplah itu pengalaman manis korang di sini.

TERUSKAN MEMBACA...

PERLUKAN KATERING? LAWAT UNTUK PAKEJ MENARIK

Thursday, April 16, 2009

JAWATAN KOSONG DI MAJLIS DAERAH CAMERON HIGHLANDS

Agak sibuk pulak minggu nie, jadi nak tambah topik pun tak sempat. Tengah pening buat kerja, datang pulak seorang dari Majlis Daerah bawa surat. Ingatkan surat kena meeting ke atau Dato' DO panggil mengadap, rupanya iklan kekosongan jawatan yang ada di Majlis Daerah Cameron Highlands. Jadi untuk makluman terutamanya warga Cameron Highlands atau sesapa yang diluar dari Cameron yang nak mencuba nasib, dipersilakanlah. Agak banyak kekosongan yang ditawarkan, manalah tahu ada rezeki anda di Cameron Highlands.

Iklan lengkapnya seperti berikut:

Majlis Daerah Cameron Highlands mempelawa permohonan dari warganegara Malaysia berumur tidak kurang dari 18 tahun pada tarikh tutup iklan jawatan bagi mengisi kekosongan jawatan bertaraf TETAP dan KONTRAK di Majlis Daerah Cameron Highlands.

BIL

JAWATAN

GRED

TARAF

JUMLAH PENGISIAN

A

PEMBANTU TADBIR (P/O)

N17

TETAP

KONTRAK

2

3

B

PEMBANTU PENGUATKUASA

N17

TETAP

KONTRAK

1

5

C

PEMBANTU TADBIR RENDAH

N11

KONTRAK

1

D

TUKANG K3

R9

TETAP

2

E

PEMANDU KENDERAAN

R3

TETAP

1

F

PEKERJA AWAM

R1

TETAP

7

JUMLAH

22


Untuk maklumat mengenai kelayakan dan tangga gaji bolehlah rujuk kepada laman web SPA kerana setiap skim perkhidmatan itu sama sahaja, tak kira dimana kekosongan tu.

Cara memohon dan syarat-syarat

1. Permohonan hendaklah menggunakan Borang MDCH/JWT yang boleh didapati di Jabatan Khidmat Pengurusan Majlis Daerah Cameron Highlands melalui pos dengan mengirim satu sampul surat berukuran 23cm x 15cm yang beralamat sendiri dan bersetem RM1.00 atau melalui web www.epbt.gov.my

2. Semua permohonan hendaklah diisi dengan lengkap dan disertakan bersama salinan dokumen yang telah disahkan
Kad pengenalan (depan/belakang)
Sijil berhenti sekolah
Sijil/diploma/ijazah berkaitan
Gambar pasport
Lain-lain dokumen sokongan

Permohonan yang telah lengkap diisi hendaklah dialamatkan kepada:

Yang Dipertua
Majlis Daerah Cameron Highlands
Peti Surat 66
39007 Tanah Rata
Cameron Highlands
(u.p: Unit Pentadbiran)

Tarikh Tutup: 23 May 2009

Sila Rujuk: http://www.mdcameron.gov.my/portal/mdcameron/mdch/kekosongan

TERUSKAN MEMBACA...

PERLUKAN KATERING? LAWAT UNTUK PAKEJ MENARIK

Monday, April 13, 2009

ASAL USUL "BABY KAILAN"



Pengunjung yang pernah ke Cameron Highlands pastinya akan tertarik dengan pelbagai jenis sayuran yang dijual dikebanyakan gerai. Dalam banyak-banyak sayuran tu ada yang diwar-warkan sebagai baby kailan. Rasanya memang sedap dan seakan-akan rasa kailan, walaupun agak keras sedikit. Tapi tahukan anda asal-usulnya? Sebenarnya baby kailan ini bukanlah anak sebenar kepada kailan malah takde kena mengena pun. Ibubapa sebenarnya ialah KOBIS.

Ceritanya begini.



Kalau anda nak tahu inilah rupa pokok kobis. Dah sesuai nak kena tuai. Usia dia dalam 3 bulan sahaja. Kobis nie kalau dah kena tuai, dia kena buang terus je, sebab dia takkan "berbuah" kobis lagi.



Cara menuainya, hanya potong pada pangkal kobis tu dan tinggallah tunggul pokok kobis. Seperti gambar dibawah.



Bagi petani yang agak malas nak buang tunggul kobis tu, maka selang beberapa hari, akan tumbuhlah tunas-tunas baru pada tunggul kobis tu. Tunas tu mungkin akan mencecah 4 atau lima tunas disekelilingnya.



Selepas seminggu, tunas tu akan membesar dan penuhlah disekeliling tunggul tadi tu.



Gambar dibawah adalah tunas yang sudah berusia 15 hingga 20 hari. Ia akan dipetik dan dijual sebagai baby kailan.



Ini gambar baby kailan yang sedia untuk dijual.



Jadi kalau anda ke Cameron Highlands dan bercadang nak beli baby kailan, tanya dulu penjual tu satu soalan.

"Tokeh, kalau itu baby kailan ada jual, apa pasal ayah dia si kailan takde jual?"

TERUSKAN MEMBACA...

PERLUKAN KATERING? LAWAT UNTUK PAKEJ MENARIK

Wednesday, April 8, 2009

BHARAT TEA PLANTATION


Pengunjung yang melalui Tapah ke Cameron Highlands pastinya akan menikmati satu pemandangan ladang teh yang menarik kira-kira 5km sebelum sampai bandar Tanah Rata. Itulah ladang teh milik syarikat Bharat Tea Plantation Sdn Bhd. Ia adalah salah satu dari 3 ladang teh yang boleh dilawati di Cameron Highlands selain ladang Boh di Ringlet dan Sg Palas. Ladang teh ini selalu dilawati pengunjung tidak kira musim cuti atau tidak. Ini kerana lokasinya amat mudah ditemui, hanya ditepi jalan besar sahaja. Manakala ladang teh milik Boh Plantation agak jauh dari jalan besar.



Ladang teh nie ada 2 tempat masuk, seperti gambar dibawah adalah tempat parking, pusat jualan dan cafe. Jika makan dicafe, boleh melihat pemandangan ladang teh yang menarik, tapi agak menakutkan bagi sesiapa yang takut ketinggian.



Pintu masuk lagi satu, boleh turun ke bawah dan berjalan-jalan di ladang teh sambil ambil gambar. Kat situ pun ada pusat jualan dan cafe.



Kedai menjual cenderamata dan teh.



Cafe yang mempunyai pemandangan yang menarik berlatarbelakang ladang teh.



Ladang teh saujana mata memandang.



Anak sungai melalui ladang teh tersebut.



Pemandangan ladang teh dari sudut yang lain.



Sudut yang lain jugak.



Kilang teh. Bharat tea tidak membenarkan pelawat memasuki kilang teh ini. Pengunjung boleh melawat kilang teh di Boh plantation Ringlet dan Sg Palas.



Pusat jualan teh.



Jadi, selamat datang ke Cameron Highlands.

TERUSKAN MEMBACA...

PERLUKAN KATERING? LAWAT UNTUK PAKEJ MENARIK

Monday, April 6, 2009

BANK YANG BEROPERASI DI CAMERON HIGHLANDS

Amat mudah jika anda ingin berurusan dengan bank di Cameron Highlands kerana banyak bank beroperasi. Tapi yang menjadi masalahnya ialah kebanyakan bank beroperasi di bandar Tanah Rata, manakala hanya sebuah dua sahaja di Ringlet dan Brinchang.

Berikut ialah bank yang anda boleh berurusan di Cameron Highlands.



BANDAR RINGLET

1. CIMB
No 22 Main Road
39200 Ringlet
Cameron Highlands
Pahang
Hari beroperasi: 9.15AM - 4.45PM (Mon-Thur)
9.15AM - 4.15PM (Fri)

BANDAR TANAH RATA

1. CIMB
No 60 Persiaran Camellia 3
Tanah Rata
39000 Cameron Highlands Pahang

2. Maybank
Persiaran Camelia 4,
39000, Tanah Rata,
Cameron
Highlands,
Pahang

3. AGRO Bank
No. 54 A&B, Persiaran Camelia 3,
Bandar Baru Tanah Rata,
39000 Tanah Rata,
Cameron Highlands

4. Hong Leong Bank
No. 36, Main Road Tanah Rata,
39000 Cameron Highlands,
Pahang

5. Ambank
No. 43 Jalan Besar,
39000, Tanah Rata
Cameron Highlands,
Pahang

6. HSBC Bank
31-32 Main Road
39000 Tanah Rata,
Cameron Highlands
Pahang

7. Bank Simpanan Nasional (BSN)
No 5, Bangunan LKNP,
Jalan Besar,
39000 Tanah Rata
Pahang

BANDAR BRINCHANG

1. Public Bank
MDCH 41-43,
Bandar Baru Brinchang,
39100 Brinchang,
Cameron Highlands,
Pahang

Untuk makluman, tidak semua bank mempunyai ATM yang mencukupi, misalnya Maybank hanya ada dua, manakala bank lain hanya ada satu.

Begitu juga kemudahan Cash deposit adalah terhad, misalnya Maybank hanya ada satu mesin Cash deposit, itupun di dalam bank. Bermakna anda hanya boleh menggunakan kemudahan itu pada waktu pejabat sahaja.

Kebanyakan hotel besar pula seperti Equatorial dan Rossa Passa Dena menerima kad kredit/debit untuk urusan dengan mereka, tetapi bagi hotel budget, anda terpaksa menyediakan wang tunai.

Satu lagi perkara, hanya sebuah dua sahaja pasaraya di Cameron yang menerima kad kredit/debit bagi urusan pembayaran. Antaranya ialah Pasaraya Jimat dan Pasaraya Cameron.

Jadi pastikan anda merancang untuk membawa tunai secukupnya jika berkunjung ke Cameron Highlands.

TERUSKAN MEMBACA...

PERLUKAN KATERING? LAWAT UNTUK PAKEJ MENARIK

HUTAN LIPUR PARIT FALL


Bagi mereka yang sukakan kedamaian hutan dan menikmati keindahan flora dan fauna, pastinya tidak akan ketinggalan mengunjungi Hutan Lipur Parit Fall. Anda boleh sampai ke hutan lipur ini dengan mudah. Dari bandar Tanah Rata, anda terus menghala ke Brinchang dan hanya lebih kurang 1km sahaja anda akan jumpa satu simpang di sebelah kanan menghala ke Taman Sedia. Sebaik sahaja memasuki simpang tersebut, anda akan jumpa papan tanda menunjukan hutan lipur ini.

Anda juga boleh ke hutan lipur ini melalui jungle walk bermula di sebelahan Hotel Pines Century di Tanah Rata. Jarak perjalanan adalah lebih kurang 800 meter sahaja.



Papan tanda menunjukkan hutan lipur Parit Fall.



Di tempat parking hutan lipur tersebut ada tapak kajian milik Pejabat Hutan. Kat situ ditulis Chimp - Cameron Highlands Montane Park.



Kawasan yang boleh dijadikan tapak perkhemahan. Tapi kebenaran perlu diperolehi terlebih dahulu, dari Pejabat Hutan rasanya!.



Ada stall jualan yang sampai sekarang masih takde penjual. Sesiapa yang berkunjung ke Cameron Highlands, baik rasanya pada waktu makan tengahari, sediakan makanan sendiri dan makan disini ramai-ramai. Jangan takut sebab takde monyet atau kera yang datang menganggu.



Mulakan perjalanan jungle walk anda disini untuk pengalaman yang menarik.



Jambatan gantung, juga anda boleh mulakan jungle walk anda dari sini.



Jeram yang terdapat di sana, sebenarnya ada 2 sebab kenapa tak boleh mandi disini. Pertama: airnya sejuk, kedua: airnya kotor.



Air terjun yang tak berapa tinggi, pun jangan mandi kat sini.



Satu lagi laluan jungle walk, anda akan sampai ke Tanah Rata (Hotel Pines Century) jika bermula dari sini.



Jadi? Selamat ke Cameron Highlands

TERUSKAN MEMBACA...

PERLUKAN KATERING? LAWAT UNTUK PAKEJ MENARIK

JUMLAH PELAWAT

Freelance Writer Needed
Freelance Writer Needed