CAMERON Highlands 25 Okt. – Perusahaan tanaman kaktus mempunyai masa depan yang cerah di negara ini. Disebabkan itulah maka sudah ada petani yang menjadikan tanaman kaktus sebagai sumber pendapatan kepada keluarga.
Bagi Mohd. Hendry Hasiman, 42, dia berminat dengan penanaman kaktus kerana ia mudah dijaga.
Pengusaha tanaman itu mempunyai lebih 200 jenis pokok kaktus yang ditanam di sini sejak menceburi bidang itu 10 tahun lalu.
“Saya dan isteri, Shima Arman, 44, minat dengan tanaman kaktus kerana ia mudah membiak dan tahan panas cahaya matahari.
“Pokok kaktus jenis King Kaktus mudah tumbuh dan boleh dipasarkan dalam tempoh setahun selepas ia ditanam,” katanya ketika ditemui di Brinchang di sini baru-baru ini.
Menurut Mohd. Hendry, benih pokok kaktus yang ditanamnya diperoleh dari Thailand.
Jelasnya, pokok kaktus tidak memerlukan bekalan air yang banyak kerana ia hanya perlu disiram sekali seminggu.
Dia bersyukur kerana dapat menjual kaktus yang diusahakan itu di pasar tani anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) pada setiap hari Ahad.
“Sambutan di kalangan peminat kaktus begitu membanggakan terutama pada musim cuti sekolah,” katanya.
Jelas Mohd. Hendry, setiap anak kaktus dijual dengan harga RM1 hingga RM1.50.
“Kalau peminat beli secara pakej yang mengandungi tujuh pokok kaktus, ia dijual dengan harga RM10,” katanya.
Bagi kaktus yang bersaiz besar, ia dijual dengan harga RM10 bagi tiga pokok.
Sementara itu, seorang peminat kaktus dari Melaka, Warith Mohammad, 27, berkata, dia gemar menanam kaktus kerana ia merupakan hiasan yang menarik.“Saya tertarik apabila melihat pokok kaktus yang terdapat di sini,” katanya.
Jelasnya, bunga kaktus dalam pelbagai warna menarik dijadikan hiasan di halaman rumah.
Menurut Warith, selain menarik harga pokok kaktus juga murah dan mudah diperoleh.
Seorang lagi peminat kaktus, Azizah Othman, 35, berkata, dia berminat dengan tanaman kaktus kerana bunganya yang menarik.
Wanita itu yang menanam pelbagai jenis kaktus di rumah, membeli tanaman itu setiap kali mengunjungi kawasan ini.
“Saya tertarik dengan kaktus kerana ia begitu unik dan senang dijaga berbanding dengan pokok bunga yang lain,” katanya.
bagaimana saya hendak menghubungi beliau..?? saya berminat untuk order kaktus...
ReplyDeleteya saya juga berminat so bagaimana tuk mnghubunginya..
ReplyDeleteya saya juga berminat so bagaimana tuk mnghubunginya..
ReplyDeletemcm mana nk bwat tempahan?
ReplyDeleteBole bg no whatsapp utk mudah sy mbuat tempahan?
ReplyDelete