Monday, October 18, 2010

PPPCH DESAK NEGERI NAIKKAN SEWA AIR


CAMERON HIGHLANDS 16 Okt. - Persatuan Pribumi Perkasa Cameron Highlands (PPPCH) mendesak kerajaan negeri menaikkan kadar sewa air antara RM300 hingga RM500 setahun ke atas pengusaha dan pekebun sayur di tanah tinggi itu.

Pengerusi PPPCH, Alias Abdul Rahman berkata, selama ini, seramai 7,200 pengusaha dan pekebun sayur di tanah pemilikan sementara (tol) di Cameron Highlands hanya membayar sewa air RM10 setahun dan kadar itu tidak mampu menampung pengurusan yang semakin meningkat di pusat peranginan itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan menanggung kerugian jika mengekalkan sewa minimum itu sedangkan kadar yang lebih relevan ialah antara RM300 hingga RM500 setahun.

''Sejajar peningkatan pengurusan, sewa air tahunan wajar dinaikkan, lagi pun pengusaha di sini mampu membayar sewa berkenaan berasaskan pendapatan yang lumayan daripada hasil produk pertanian komersial masing-masing.

''Langkah ini boleh menjimatkan perbelanjaan kerajaan negeri dan mengurangkan defisit belanja pengurusan air yang semakin meningkat berikutan permintaan yang tinggi terhadap keperluan asas berkenaan," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurut Alias, cadangan itu dilakukan berikutan peningkatan penggunaan air di kawasan tanah tinggi itu di kalangan pengusaha dan pekebun sayur termasuk mereka yang meneroka tanah secara haram bagi tujuan yang sama sehingga air di Sungai Terla semakin susut.

''Makluman yang kita terima, iaitu kadar penggunaan air di sini untuk mengairi tanaman mencecah lebih 1 juta liter sehari, tidak termasuk penggunaan bagi kediaman dan premis lain," katanya.

Menurutnya, pihaknya menjangkakan penggunaan air yang tinggi itu menyebabkan Sungai Terla hanya mampu menampung keperluan sehingga 2015. ''Kita bimbang kadar penyerapan air semakin meningkat bermakna kawasan Cameron Highlands akan menghadapi kekurangan bekalan untuk menampung hampir 40,000 penduduk termasuk pelancong pada masa akan datang," katanya.

Alias menjelaskan, kekurangan air juga berpunca daripada kadar penyerapan yang semakin tinggi berikutan pemanasan suhu akibat pencerobohan tanah haram dan penebangan hutan tidak terkawal.

Tambahnya, peningkatan kadar sewa air terhadap pekebun sayur Cameron Highlands merupakan antara langkah menjimatkan kewangan kerajaan negeri selain menguatkuasakan pencerobohan tanah di kawasan itu.


PERLUKAN KATERING? LAWAT UNTUK PAKEJ MENARIK

No comments:

Post a Comment

JUMLAH PELAWAT

Freelance Writer Needed
Freelance Writer Needed