Wednesday, November 4, 2009

PENGUSAHA BUNGA DAKWA RUGI BESAR


IPOH 3 Nov. – Kira-kira 400 pengusaha ladang bunga di Kampung Raja, Cameron Highlands mendakwa mereka mengalami kerugian besar akibat bekalan elektrik yang sentiasa terputus sejak 22 Oktober lalu.

Setiausaha Eksekutif Pertubuhan Pengusaha Bunga-Bungaan Cameron Highlands, Yong Leong Meng berkata, masalah bekalan elektrik yang sering terputus di kawasan tersebut juga menyebabkan 3,500 penduduk sekitar terpaksa bergelap dan menyukarkan urusan seharian mereka.

“Sejak kali pertama bekalan elektrik terputus pada 22 Oktober lalu, kami telah membuat aduan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) Tanah Rata. Ini bukan kali pertama masalah ini berlaku.

“Bekalan elektrik kadangkala ada dan pernah hampir satu hari tidak ada bekalan elektrik. Bila kita buat laporan kepada TNB, sampai sekarang pihak mereka tidak datang melihat masalah ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Leong Meng mendakwa, masalah bekalan yang sering terputus itu telah menyebabkan tanaman bunga kekwa yang diusahakan oleh sebahagian peladang rosak dan tidak dapat dipasarkan.

Malah katanya, mereka juga terpaksa melakukan kerja-kerja membasuh tomato secara manual kerana mesin automatik khas tidak dapat berfungsi.

“Bunga kekwa memerlukan pencahayaan selama empat jam setiap hari. Bila tidak mendapat cahaya yang cukup, pokok-pokok ini akan layu dan mati.

“Jadi kita tidak akan dapat pasarkan bunga tersebut sedangkan kita adalah pengeksport bunga kekwa terbesar ke Jepun. Jika masalah ini berlaku, pasaran eksport kita akan terjejas,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar TNB Negeri Pahang, Datuk Mohd. Rumai Abdullah ketika dihubungi di sini mengesahkan menerima laporan daripada pihak pengusaha ladang terbabit.

Menurut beliau, pihaknya telah menjalankan siasatan dan mendapati kekerapan gangguan bekalan elektrik terputus di Kampung Raja itu adalah disebabkan oleh beberapa punca yang tidak dijangkakan.

Gangguan bekalan yang berlaku pada 22 Oktober lalu katanya, disebabkan oleh talian atas tidak bersalut (ABC) yang terputus digigit musang dan pokok tumbang di atas talian TNB.

Menurutnya, TNB telah telah menjalankan kerja-kerja membaik pulih di kawasan berkenaan.

“Untuk jangka pendek, kita telah membaiki semua talian ABC yang rosak tersebut. Bagi jangka masa panjang pula, pekerja-pekerja TNB akan sentiasa melakukan rondaan dan melakukan kerja-kerja rentis talian iaitu memotong pokok-pokok yang mengganggu talian.

“Saya harap penduduk dan pengusaha ladang di kawasan terbabit dapat bersabar. Kerja-kerja membaik pulih mengambil masa kerana keadaan cuaca dan kedudukan talian TNB yang berada di keadaan muka bumi yang sukar untuk dilalui,” katanya.

Bagaimanapun jelas Mohd. Rumai, TNB akan sentiasa berusaha mempercepatkan proses pembaikan kerosakan tersebut demi kepentingan pengguna.


PERLUKAN KATERING? LAWAT UNTUK PAKEJ MENARIK

No comments:

Post a Comment

JUMLAH PELAWAT

Freelance Writer Needed
Freelance Writer Needed