Wednesday, June 30, 2010
HANTU?
Saya ditanyakan soalan berkaitan lokasi berhantu di Cameron Highlands oleh beberapa pengunjung blog melalui email. Biasanya saya jawap email tersebut dengan beberapa jawapan yang bercampur seram dan lawak sikit. Tapi bila dah banyak sangat orang menghantar email berkaitan perkara sama, lebih baik saya buat N3 berkaitan sahaja.
Persoalan pokoknya....adalah beberapa tempat tertentu seperti hotel, homestay dan lokasi tumpuan pelancong di Cameron Highlands itu berhantu?
Jawapan saya cuma merupakan pendapat peribadi, pengalaman dah bertahun-tahun jadi warga Cameron. Bagi orang lain, tentunya jawapan akan berbeza. Terpulang pada anda untuk menilainya.
Pendapat saya, jika anda fikirkan hantu, maka semua lokasi di Cameron sebenarnya berhantu!. Terutama jika lokasi anda menginap itu jauh sikit dari bandar, keliling pulak hutan tebal. Kuarters saya duduk pun ada jugak makhluk tu. Belum lagi kuarters di Sg. Burung. Dah memang tempat tinggal diorang. Kita yang meneroka tempat nie dan duduk sekali dengan mereka. Hospital di Tanah Rata? Kan hospital tu dok kat hujung dunia....cubalah cari hospital tu dan nilai sendiri lokasinya.
Hotel pulak? Saya tak pernah menginap di hotel, jadi saya tak pernah alaminya. Dari pengalaman pengunjung blog, antara hotel "keras" ialah hotel Star Regency, Country Lodge Resort, Bala Chalet. Itu cerita orang la...bukan saya yang alami sendiri. Takut nanti saya disalahkan bila ramai pengunjung taknak dok kat hotel tu. Cuma hotel budget, tak pernah lagi orang komplen disakat dek hantu. Mungkin hantu nie suka pada orang banyak duit kot.
Lokasi tumpuan pelancong pulak? Jalan masuk ke Boh Plantation di Habu. Cubalah kalau berani, lalu jalan tu pada waktu malam, sampai satu selekoh yang ada air terjun kecik. Singgah situ dan tunggu......dah ramai orang jumpa pompuan mengilai kat situ. Cerita nie saya dengar dari kakitangan kat ladang teh tu sendiri.
Pengalaman saya? Saya alami hanya dirumah yang saya dok sekarang nie. Rumah tu dimana, tak perlulah saya bagi tahu. Takut takde sesapa nak singgah nanti. Paling risau bila anak nombor 2 saya tu demam. Mulalah matanya cerah semacam dan nampak "member" kita tu. Masa dulu sibuklah baca ayat Alquran mana yang ingat. Bila dah lelama naik menyampah pulak. Sekarang siap suruh balik lagi...."ko balik la...anak aku demam nie, dia nak tidur...ko jangan kacau la". Berani la pulak kan? Iyelah, kita kan cuma duduk sekali dengan diaorang. Ko jangan kacau aku, aku pun tak kacau ko. Harap-harap cukuplah segala pengalaman yang saya alami.
Itulah hakikatnya. Bila kita fikirkan semua tu, mulalah syaitan tu masuk mengoda kita. Bagi orang penakut, makin menjadilah semua tu. Bagi member yang dah perangai macam hantu. takde pulak dengar cerita kena sakat. Mungkin makhluk tu lebih suka sakat orang baik kot.
Apa pun N3 nie hanya sekadar tulisan biasa, sebab dah lama tak menulis. Kalau bertandang ke CH nie, bergembiralah. Jangan difikirkan sangat benda tu hingga percutian anda tidak seindah mana.
Tapi kalau kena jugak, pergi je ke masjid di Brinchang. Cari orang tua nama Pak Long, duduk kat flat Muhibbah. Tahulah orang tua tu nak buat apa.....
Monday, June 21, 2010
SIKAP 'TERLEPAS PANDANG' PIHAK BERTANGGUNGJAWAP JEJAS 1MALAYSIA
~copy and paste from Berita Harian~
Merupakan komen seorang penonton Rancangan Aduan Rakyat, TV3 beberapa minggu lepas
BARU-BARU ini, program Aduan Rakyat TV3 membongkar isu penerokaan haram di Tanah Tinggi Cameron Highlands, Pahang.Lebih menyayat hati, apabila didedahkan bagaimana pihak yang berkenaan boleh terlepas pandang kadar pencemaran teruk dan binaan konkrit ‘memakan’ tanah rizab Melayu di kawasan itu.
Selain itu, turut didedahkan pencemaran air sungai di Sungai Semantan, Pahang yang didakwa penduduk tempatan berpunca daripada sisa industri.
Namun, hasil siasatan turun padang Jabatan Alam Sekitar (JAS) kawasan terbabit, tiada bukti mengesahkan dakwaan itu. Lebih menghairankan, masyarakat tempatan pula dipersalahkan kerana tidak membuat aduan lebih awal sehingga gagal mengesan punca pencemaran.
Mungkin benar penduduk kampung juga ada silapnya, tetapi JAS usah lepas tangan dan berpura-pura tidak tahu? Mengapa kilang yang beroperasi berhampiran punca sungai itu tidak diarahkan berpindah saja?
Paparan Aduan Rakyat itu pastinya menjentik hati kita semua yang peka dengan hak kita sebagai rakyat dan anggota masyarakat. Oleh itu, diharapkan agar krew Aduan Rakyat terus berani mendedahkan kepincangan pihak yang sepatutnya memikul amanah memelihara kesejahteraan rakyat, tetapi bertindak sebaliknya.
Kita kecewa dengan sikap dan ayat klise seperti ‘terlepas pandang’ atau ‘kita akan siasat’ dan lebih buruk lagi menuding jari mencari kesalahan orang kampung.
Diharapkan kerajaan menerusi kementerian berkaitan juga bertindak tegas dan membuat tindakan susulan terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jabatan atau agensi terbabit yang cuai dan kerja main-main.
Segelintir mereka inilah yang mencalar dan menjejaskan gagasan murni Kerajaan Persekutuan, iaitu ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.
ARIF ATAN,
Kuala Lumpur.
PROJEK INSINERATOR DI CAMERON HIGHLANDS CEMAR ALAM SEKITAR, TANAMAN
~copy & paste from Berita Harian Online~
Insinerator yang dimaksudkan terletak di kawasan pembuangan sampah, berhampiran simpang masuk ke Kg Raja, jika anda dari Simpang Pulai.PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) membantah pembinaan loji insinerator di Cameron Highlands, Pahang kerana ia akan mencemar alam sekitar, menjejas kesihatan dan bekalan makanan dengan bahan toksik. Ada alternatif insinerator yang lebih murah, fleksibel dan mesra alam sekitar.
Laporan Kajian Penilaian Kesan (EIA) Kepada Alam Sekeliling cadangan projek insinerator di Cameron Highlands melaporkan bahawa teknologi yang dicadangkan ini sudah diuji di loji perintis. Ini menunjukkan bahawa teknologi yang dicadangkan ini adalah semata-mata daripada uji kaji makmal dan tidak terbukti dalam skala besar dan keadaan biasa.
Disebabkan tidak wujud data sebenar bagi pelepasan gas, keupayaan dan kecekapan kos untuk loji insinerator dengan kapasiti sama seperti yang dicadangkan di Cameron Highlands, bagaimanakah boleh dipastikan bahawa loji yang dibina ini akan beroperasi dengan baik dan mematuhi standard pelepasan?
Bagaimanakah penilaian boleh dilakukan berdasarkan kepada andaian dan tanpa sebarang petunjuk sebenar sama ada sistem kawalan pencemaran udara yang akan dipasang akan berfungsi dengan berkesan? Penilaian tidak sempurna berdasarkan andaian mungkin membawa kepada kesan buruk kepada kesihatan dan alam sekitar.
Setiap insinerator melepaskan campuran bahan kimia dalam operasinya. Pelepasan gas ini kadang-kadang adalah dalam kuantiti besar, iaitu ketika gangguan atau pelepasan tidak disangka dan kadang-kadang dalam kuantiti kecil.
Walaupun gas dari insinerator melalui sistem penapis, insinerator moden masih melepaskan tahap signifikan gas toksik, nitrogen oksida dan partikel halus.
Nano-partikel adalah memudaratkan kerana ia mampu melalui lapisan paru-paru dan menembusi organ (termasuk janin dalam ibu mengandung).
Banyak bahan pencemar yang dilepaskan dari insinerator didapati terkumpul dalam dan atas tanaman. Ini amat membimbangkan untuk pengguna kerana Cameron Highlands adalah sumber penting untuk sayur-sayuran di Malaysia. Mencuci sayur boleh menyingkirkan sebahagian bahan pencemar pada permukaan sayuran tetapi amaun yang signifikan mungkin tertinggal.
Kita perlu menghentikan teknologi pelupusan sisa menggunakan insinerator atau tapak pelupusan. Wang rakyat tidak mesti digunakan untuk membiayai projek yang akan melepaskan gas rumah hijau dan bahan pencemar lain. Kami menggesa kerajaan untuk membatalkan projek insinerator di Cameron Highlands.
Pihak berkuasa tempatan perlu memberi perhatian kepada pengurangan sisa, meningkatkan aktiviti pengkomposan, kitar semula dan menyediakan pengumpulan sisa yang diasingkan. Lokasi insinerator di Cameron Highlands boleh digunakan untuk membangunkan kemudahan pengumpulan dan pengasingan bahan yang boleh diguna dan dikitar semula.
SM MOHAMED IDRIS,
Presiden CAP.
Thursday, June 3, 2010
HARI BERTEMU PELANGGAN MARDI CAMERON HIGHLANDS
Tajuk: Hari Bertemu Pelanggan Mardi Cameron Highlands
Tempat: Taman Agroteknologi Mardi Cameron Highlands
Tarikh: 12-14 Jun 2010
Acara menarik: Lawatan ke ladang strawberry, booth pameran, jualan dan ekspo syngenta.
Bayaran: Masuk percuma pada hari pelancaran sahaja (12 Jun). Lain hari kena bayar le....Mardi rasa rugi kot sebab cuti sekolah ramai pelancong.