Friday, February 12, 2010
JATUH CINTA DENGAN KEINDAHAN CAMERON HIGHLANDS
KEINDAHAN alam semula jadi dan cuaca yang berbeza daripada tempat asalnya terus menambat hati Azizah Itam, 65, untuk menetap di tanah tinggi Cameron Highlands, sejak 35 tahun lalu.
Keputusan tekad wanita yang berasal dari Ipoh, Perak itu dibuat selepas berkahwin dan mengikut suami tercinta, Jaafar Sidek, 74, yang ketika itu bertugas di Pejabat Daerah Cameron Highlands sekitar 1970-an. Menceritakan pengalaman awal menetap di pusat peranginan negara itu, Azizah yang mesra disapa Opah, berkata tanah tinggi itu terlalu sejuk sehinggakan menjelang tengah hari kabus sudah mula memenuhi persekitaran.
Malah, katanya, jika hujan pada waktu malam, permukaan air becak di luar rumah beku kerana terlalu sejuk. Lazimnya, penduduk Cameron Highlands akan keluar bermain bola pada waktu tengah hari kerana pada waktu petang cuaca cepat gelap serta berkabus tebal.
"Apa yang paling opah tidak boleh lupa ialah minyak masak tidak boleh disimpan dalam botol kerana ia boleh menjadi keras. Jadi, minyak masak disimpan di dalam plastik. Apabila mahu menggunakannya, terpaksa potong minyak masak itu atau mencedoknya menggunakan senduk," katanya ketika ditemui di Kampung Taman Sedia, Tanah Rata, Cameron Highlands, baru-baru ini. Bagaimanapun, katanya, suasana dan cuaca seumpama itu semakin berubah, walaupun agak sejuk daripada cuaca di bawah, kina persekitaran tanah tinggi itu tidak sesejuk seperti dulu kerana pembangunan dan penebangan pokok.
Memenuhi masa lapangnya dengan mengusahakan kebun strawberi, Azizah mula berjinak-jinak dalam bidang pertanian selepas melihat kesungguhan suaminya bercucuk tanam terutama bunga orkid kira-kira 20 tahun lalu.
Pada peringkat awal, sekitar 1990-an selepas berpindah ke Kampung Taman Sedia, Tanah Rata, Cameron Highlands beliau membantu suaminya menanam pisang kaki, tanam pisang kaku, laquat (sejenis buah dari China - berbentuk bujur kuning dan manis) dan beri biru.
Beberapa tahun selepas itu, beliau dan suami turut menanam bunga orkid dengan sokongan Jabatan Pertanian Cameron Highlands. Hasil orkid itu, dijual kepada orang ramai.
"Suami memang gemarkan bunga-bungaan. Disebabkan ini, kami menamakan rumah kami 'Teratak Mawar' kerana sebelum ini kawasan keliling rumah dipenuhi pokok bunga mawar. Selepas selesai solat subuh rutin opah dan suami adalah membersihkan kebun, menyiram dan memetik bunga," katanya.
Bagaimanapun, katanya, selepas suaminya diserang angin ahmar pada 2007, beliau terpaksa melupakan seketika minat untuk berkebun kerana menjaga suami.
"Apabila suami sudah mulai sembuh dan boleh berjalan sendiri, beliau masih mahu menguruskan kebun. Atuk (Jaafar) memang tidak boleh duduk diam. Bayangkan kadangkala tanpa kita sedari beliau sudah keluar rumah dan berada dalam kebun. Untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku seperti terjatuh, kami sekeluarga membuat keputusan menebang semua pokok buah dan menggantikan orkid dengan strawberi," katanya.
Beliau berkata, menantunya, Khairani Mohd yang juga pemilik ladang strawberi KHM banyak memberi bantuan dan sokongan dalam usaha membangunkan kebun strawberi itu.
Membenarkan pelawat memetik sendiri strawberi, memberi kelainan kepada pengunjung kebun strawberi Opah yang terletak di tepi rumahnya di Teratak Mawar, Kampung Taman Sedia, Tanah Rata itu.
"Kebanyakan kebun dan ladang strawberi di Cameron Highlands ini tidak membenarkan pelancong memetik sendiri strawberi bagi menjaga kualiti buahnya. Tetapi di kebun ini, pengunjung boleh merasai pengalaman memetik strawberi sendiri." katanya.
Selain berkebun, Azizah turut membuka gerai yang menjual produk berasaskan strawberi seperti aiskrim, jem, kordial, acar, gula-gula dan susu kocak perisa strawberi untuk kemudahan pengunjung yang bertandang ke kebunnya.
"Kami juga ada membuat jem dengan resipi sendiri dengan jenama Opah Strawberries & Jem, selain turut menjual produk keluaran KHM," katanya.
Bercerita mengenai penjagaan pokok strawberi, Azizah yang turut dibantu dua pekerja berkata, pokok itu menghasilkan buah selepas tiga bulan ditanam dan keistimewaan strawberi dari Cameron Highlands ialah ia berbuah sepanjang tahun tidak seperti di negara Eropah yang mengikut musim.
Tiga jenis strawberi yang ditanam di kebunnya iaitu dari jenis harumas yang berasal dari Amerika yang bersaiz besar dan kurang manis; camarosa yang berasal dari Belanda dengan buahnya bersaiz pertengahan, boleh tahan lama dan manis, manakala yang berasal dari Jepun pula, buahnya bersaiz kecil dan manis tetapi tidak tahan lama.
"Tiada rahsia dalam penjagaan pokok ini. Tidak seperti pokok mawar yang perlu sentiasa dibelai, penjagaan pokok strawberi agak ringkas. Tiada petua khusus dalam penjagaan strawberi, tetapi apa yang sering saya amalkan ialah berzikir setiap kali membelek pokok strawberi itu," katanya.
Selain menanam strawberi, beliau juga turut membuka rumahnya sebagai tempat penginapan atau homestay untuk tetamu yang berkunjung ke Tanah Rata.
Azizah yang menaruh harapan supaya perniagaan dan pertanian ini diwarisi anak cucunya, mengakui selain cuaca yang nyaman, hubungan masyarakat di kampung itu yang terlalu erat menyebabkan beliau selesa dan mahu terus tinggal di kawasan tanah tinggi itu.
No comments:
Post a Comment