Kawasan tanah tinggi Cameron Highlands, Pahang bukan saja terkenal dengan tanaman teh dan strawberi, malah turut menyimpan pelbagai keunikan lain yang boleh diterokai pengunjung.
Antaranya sebuah muzium milik individu dikenali sebagai Time Tunnel atau terowong masa ciptaan anak tempatan yang dibina khas untuk memperkenalkan pusat pelancongan ini kepada masyarakat luar.
Bagi pengunjung, mereka boleh berkunjung ke Time Tunnel yang dibuka pada setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 6 petang dengan bayaran RM5 bagi orang dewasa dan RM3 untuk kanak-kanak.
Menariknya, pengunjung tidak perlu gusar sekiranya hendak membawa masuk kamera kerana ia tidak dikenakan sebarang caj dan mereka bebas merakamkan apa sahaja artifak atau gambar di dalam muzium tersebut untuk tatapan sekembali ke tempat masing-masing.
Time Tunnel dengan keluasan 18.58 meter persegi ini dan terletak di Brinchang dekat sini, menempatkan lebih 1,000 artifak dan barangan lama untuk tatapan para pelancong.
Selain itu, muzium ini mampu membawa pengunjung mengimbau kenangan lama seawal era 1950-an melalui paparan pelbagai peralatan lama.
Malah paparan mengenai kehidupan Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee juga ‘disajikan’ untuk tatapan umum sebagai usaha mengenang jasa beliau.
Menurut pemiliknya, See Kok Suen, 46, idea menubuhkan muzium tersebut tercetus setelah lebih 15 tahun beliau mengembara ke merata tempat termasuk di ibu negara sebagai seorang pelukis iklan.
“Saya sering memikirkan apa yang kurangnya di sini (Cameron Highlands) dan akhirnya saya memilih untuk membina sebuah muzium tempatan mengikut kreativiti saya dan kehendak masyarakat.
“Maka, pada Januari 2007 muzium ini ditubuhkan dengan modal kira-kira RM20,000,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Kata Kok Suen, orang ramai pasti sukar mempercayai bahawa modal yang digunakan bagi mewujudkan muzium itu berbanding jumlah artifak yang dipamerkan di situ.
“Sebenarnya kebanyakan barangan yang saya pamerkan dihadiahkan rakan-rakan, selain koleksi saya sendiri sejak 15 tahun lalu. Kalau ada yang saya beli pula, harganya tidak sampai RM100,” jelasnya.
Time Tunnel turut menjadi pilihan pelancong asing kerana selain memaparkan penceritaan mengenai sejarah Cemeron Highlands yang menjadi bualan dunia, muzium berkenaan turut menyelitkan kisah misteri kehilangan Jim Thompson, seorang pelancong Eropah yang diberi jolokan ‘Raja Sutera Thai’ di kawasan peranginan ini.
Kok Suen berkata, cerita mengenai kehilangan Jim Thompson pada tahun 1967 amat popular sehingga ada pelancong dari Jepun dan Amerika Syarikat datang ke sini semata-mata untuk mengetahui kisahnya dengan lebih lanjut.
“Baru-baru ini seorang penulis dari Singapura datang ke sini dan memohon kebenaran saya menggunakan segala bahan yang dipaparkan mengenai Jim Thompson di muzium ini sebagai rujukan untuk kajiannya.
“Saya cukup terharu kerana segala usaha saya membina muzium ini mendapat pengiktirafan sebegini rupa,” jelasnya.
Tambah Kok Suen, penerimaan pengunjung akan kewujudan Time Tunnel yang dibina bersebelahan ladang strawberi Kok Lim milik sahabatnya, sudah cukup memberi kepuasan kepadanya.
Wanita yang masih bujang itu sebenarnya menyimpan impian untuk membina sebuah lagi muzium yang membawa penceritaan mengenai pengganas komunis dan Perang Dunia Kedua di kawasan sama.
“Sebahagian artifak peninggalan Perang Dunia Kedua saya peroleh daripada seorang kenalan di Britain.
“Kini, saya sedang berusaha mencari lokasi yang sesuai dan mencari lebih banyak barangan bersejarah berkaitan komunis dan Perang Dunia Kedua untuk ditempatkan di muzium itu kelak,” jelasnya.
-ehsan dari Utusan Online-
No comments:
Post a Comment