Thursday, November 19, 2009

MUSIM CUTI PERSEKOLAH TELAH TIBA!

Minggu depan akan bermula musim cuti persekolahan yang panjang. Biasanya suasana di Cameron Highlands juga akan berubah. Jumlah pelancong pada hari biasa di musim cuti adalah melebihi jumlah pelancong pada hari sabtu/ahad pada luar musim cuti sekolah. Apa yang ketara ialah kesesakan jalan raya terutama pada krismas nanti. Kedai makan akan penuh dengan pengunjung dan janganlah berkecil hati sekiranya pesanan anda lambat sampai.

Blog Indahnya Cameron Highlands telah bersiaran sejak bulan April 2009 dengan memuatkan pelbagai info untuk pengunjung. Sebahagian besar tempat menarik yang mesti dikunjungi telah kami masukkan ke dalam blog. Jika ada tempat yang tidak kami masukkan, itu bukanlah bermakna tidak menarik, cuma kami tidak berkesempatan untuk mengambil gambarnya sahaja. Begitu juga maklumat mengenai hotel dan apartment sewa. Cuma satu kami ingatkan rate sewa adalah berbeza jika musim cuti persekolahan.

Blog kami juga akan kurang di update pada cuti sekolah ini. Bukan apa, biasanya warga Cameron Highlands akan menghadkan aktiviti di luar, kebanyakkan pula akan mengambil kesempatan balik ke kampung halaman.

Apa pun bagi anda yang merancang untuk ke CH pada cuti sekolah ini, kami ucapkan selamat datang dan semoga bergembira. Antara nasihat yang kami boleh berikan ialah

1. Jika anda menginap di hotel, pastikan sebaik-baiknya hotel tersebut ada tempat parking tersendiri. Ini kerana jika anda terpaksa mencari tempat parking di bandar Brinchang, selalunya penuh. Tanah Rata pula mempunyai parking yang baru dibuka dan agak luas iaitu di belakang medan selera, cuma agak jauh dari hotel. Diantara hotel yang mempunyai tempat parking luas ialah Della Fern, EQuatorial dan Heritage.

2. Jika anda menginap di apartment sewa, pastikan anda menempah terus kepada pemilik apartment tersebut. Elakkan melalui orang tengah yang dikenali sebagai "broker". Ini memastikan anda dapat kadar sewa yang lebih murah. Pengunjung muslim pula pastikan apartment tersebut adalah untuk muslim bagi memastikan tahap halal peralatan memasak.

3. Kebanyakkan gerai makanan akan dibuka 7 hari seminggu pada musim cuti sekolah. Walaupun begitu, gerai makan milik melayu tidak banyak di sini dan hanya tertumpu di medan selera. Pengunjung dinasihatkan agar datang awal jika ingin menikmati makanan di gerai/restoren kerana ditakuti meja penuh atau makanan habis. Pengunjung juga dinasihatkan mengira kembali wang baki selepas membuat pembayaran kerana kami telah menerima beberapa aduan bahawa pemilik kedai secara tidak sengaja akibat kekalutan/pelanggan ramai memulangkan baki yang kurang.

4. Jika pengunjung melintasi kedai/restoren dan diajak makan, pastikan ia adalah milik melayu. Untuk makluman, tiada satu pun kedai mamak di CH selepas restoren Rahman ditutup (walaupun baru 3 bulan beroperasi).

5. Pengunjung juga tidak digalakan memakan terus strawberry selepas dipetik tanpa dibasuh bagi memastikan ia bebas dari racun kulat. Dari maklumat, disebabkan permintaan tinggi buah tersebut pada musim cuti, ada pengusaha ladang/penjual yang tidak mematuhi penggunaan racun tersebut.

6. Pengunjung diminta merancang perjalanan ketika di CH bagi mengelakkan terperangkap pada kesesakan lalulintas. Biasanya waktu jam 10 pagi hingga 2 petang, jalan raya dari Brinchang ke Kea Farm amat sesak dan jika ini terjadi, pergilah ke lokasi lain dahulu yang kurang sesak seperti berjalan-jalan sahaja sekitar Brinchang.

7. Sila patuhi peraturan lalulintas terutama jalan sehala. Untuk makluman, jalan di Persiaran Camellia 3 berdekatan Maybank adalah jalan sehala walaupun papan tanda kurang jelas. Elakkan parking kereta anda ditempat larangan kerana polis trafik selalu memerhatikan anda.

No comments:

Post a Comment