Tuesday, October 6, 2009

BUNGA KEKWA MALAYSIA LEBIH BERKUALITI



-untuk maklumat bagi sesiapa berminat dengan industri bunga di Cameron Highlands-

Pertubuhan Pengusaha Bunga-Bungaan Cameron Highlands
No. 31, MDCH, Tingkat 2
Bandar Baru Brinchang
391000 Brinchang
Cameron Highlands
Pahang
Tel: 05 4956276
Fax: 05 4956288

Kingdom: Plantae
Division: Magnoliophyta
Class: Magnoliopsida
Order: Asterales
Family: Asteraceae
Genus: chrysanthemum
Species: morifolii
Setangkai bunga kekwa di Malaysia mungkin hanya berharga 30 sen, tetapi di Jepun ia mencecah antara RM5 hingga RM6 kerana keperluan bunga di negara itu begitu tinggi iaitu membabitkan kira-kira tiga bilion tangkai setahun.

Permintaan yang tinggi itu menunjukkan pasaran bunga di negara itu terlalu luas dan boleh diterokai pekebun Malaysia.

Malaysia kini hanya menguasai 30 peratus pasaran bunga Jepun, selebihnya Korea Selatan, sebagai pengeksport utama selain Vietnam yang mula memasuki pasaran negara itu. Pengarah Penyelidik Kanan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Latifah Mohd Noor, berkata industri bunga di negara ini bermula sejak 1985 dan aktif pada 1990 apabila Malaysia mula mengeksport bunga ke pasaran luar terutama Jepun.

Dianggarkan pada 1985, nilai import bunga Jepun mencecah RM64 juta, bertambah kepada RM652 juta pada 1997 dan RM686 juta pada 2001. Industri bunga dunia pada 2001 pula dianggarkan melebihi RM28.8 bilion.

Jumlah eksport bunga Malaysia ke luar negara pula mencecah RM18 juta pada 1990, RM75 juta pada 2000 dan RM104 juta pada 2007. Latifah berkata, walaupun Malaysia mengeksport pelbagai jenis bunga seperti kekwa, orkid, mawar dan bunga carnation, namun kekwa adalah bunga yang paling tinggi pulangannya untuk pasaran luar.

Bunga ros katanya lebih sinonim dengan India manakala Belanda popular dengan tulip, bumi Malaysia pula boleh berbangga dengan kekwa kerana ia memberi pulangan tinggi di pasaran luar.

Terdapat lebih 20 jenis bunga kekwa ditanam di Malaysia dengan lokasi utamanya di Cameron Highlands, Pahang dan Kundasang di Sabah. Semua kebun bunga ini milik persendirian dengan 10 pekebun bunga berskala besar terdapat di Cameron Highlands.

Latifah berkata, sehingga kini sebanyak 789 hektar digunakan untuk penanaman kekwa dan semuanya untuk pasaran eksport dengan purata antara 30,000 hingga 40,000 dozen bunga dipetik setiap hari dengan 70 peratus dieksport ke luar negara manakala bakinya untuk pasaran tempatan. Selain Jepun, Malaysia juga mengeksport bunga untuk pasaran Hong Kong, Taiwan, Australia selain pasaran di Timur Tengah.

Latifah berkata, setiap pasaran mempunyai kelebihan masing-masing. Misalnya Jepun, kekwa kuning atau putih lebih mendapat tempat terutama untuk perayaan hari Natal manakala untuk tahun baru, warga Jepun lebih menggemari bunga kekwa berwarna merah jambu, merah, kuning dan putih.

Selain warna dan jenis, Jepun juga sukakan bunga yang mekar di dalam jambangan. Justeru, bunga yang dieksport selalunya mekar antara 10 hingga 15 peratus. Untuk pasaran Hong Kong biasanya mekar antara 50 hingga 60 peratus manakala Taiwan, kadar mekarnya antara 30 hingga 40 peratus.

Bagi pekebun bunga, Lee Mun Keat, 30, Jepun sudah menjadi satu daripada pasaran utama bunga kekwa yang ditanam di kebunnya.

Kebun Bunga Lee seluas lapan hektar yang terletak di Kuala Terla, Cameron Highlands sudah diusahakan sejak 30 tahun lalu. Sebelum ini kebun itu diusahakan oleh bapanya dan diambil alih Lee sejak enam tahun lalu.

Lee bukan seorang saja mengusahakan kebun kekwa sebaliknya hampir semua kebun bunga berskala besar di Cameron Highlands menanam kekwa untuk pasaran luar terutama Jepun dan diikuti Taiwan, Singapura, Thailand selain pasaran tempatan.

Kebun Lee yang terletak di atas bukit sentiasa harum dengan 20 jenis kekwa pelbagai warna. Antaranya Region White, Region Yellow dan Region Sunny yang cukup popular di Jepun.

Lee berkata, penanaman bunga kekwa dilakukan sepanjang tahun dan secara berperingkat, bagi memastikan permintaan pasaran dapat dipenuhi.

Malah, ada masanya, permintaan bunga kekwa di pasaran Jepun meningkat mendadak terutama dengan kedatangan Tahun Baru, Hari Natal dan perayaan agama Shinto sekitar bulan Mac.

Secara puratanya, Lee mengeksport 25,000 tangkai bunga kekwa untuk sekali penghantaran. Ada kalanya apabila permintaan meningkat, bunga kekwa akan dieksport menggunakan kapal laut. Untuk penghantaran antara 25,000 hingga 30,000 tangkai, ia akan dihantar menggunakan kapal terbang.

Tidak dinafikan, kos menggunakan kapal terbang lebih mahal, iaitu dua kali ganda kos menggunakan kapal laut. Namun, ada ketikanya ia terpaksa dilakukan kerana jumlah bunga yang dihantar kecil, sebaliknya, jika jumlah eksport besar, ia akan dilakukan dengan kapal laut.

Sebelum ini, Lee pernah menghantar bunga ke Jepun dalam jumlah yang besar dengan kapal laut menggunakan teknologi Mardi. Ketika itu penghantaran dibuat ke Osaka pada 2005 dan pada musim panas 2003.

Penghantaran melalui kapal laut ke Tokyo mengambil masa selama 12 hari pelayaran manakala penghantaran melalui kapal terbang mengambil masa hanya enam jam. Justeru, jika permintaan untuk import kecil, Lee tiada pilihan selain menggunakan kapal terbang.

Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman Mardi dan Lee, penghantaran bunga melalui kapal laut mendapat maklum balas yang baik daripada pengimport di Jepun. Ini kerana walaupun tempoh pelayaran panjang, kualiti dan kesegaran bunga masih pada tahap yang sama.

Lee berkata, dalam sebulan dia melakukan lapan kali penghantaran untuk pasaran Jepun.

“Walaupun kebanyakan bunga yang dieksport adalah kekwa, tetapi saya juga mengeksport bunga mawar dalam skala yang kecil.

“Dari segi komersial, bunga mawar adalah bunga paling popular. Namun, kekwa membawa lebih keuntungan kerana kegunaannya untuk upacara sembahyang di Jepun. Selain itu, kekwa Malaysia memiliki struktur tangkai bunga yang lebih cantik dan menarik berbanding pesaing terdekat, Korea Selatan dan Vietnam,” katanya.

Secara umum walaupun Malaysia ketika ini hanya mendominasi 30 peratus pasaran kekwa di Jepun, iaitu di tangga kedua selepas Korea Selatan, namun kerana struktur binaan bunga yang cantik dan kualitinya menyebabkan kekwa Malaysia lebih diminati.

Bunga kekwa memerlukan masa 100 hari daripada hari ditanam sebelum dipetik. Atas keperluan eksport, bunga kekwa ditanam secara berperingkat. Justeru, kebun Lee sentiasa berseri dengan bunga kekwa pelbagai warna.

Proses memetik bunga dilakukan seawal pagi. Selepas diasingkan, 12 tangkai bunga dari jenis yang sama diikat kemas sebelum dibalut menggunakan kertas atau plastik. Ia direndam dalam baldi berisi air sementara menanti dibungkus dalam kotak.

Semua proses daripada pengasingan, pembungkusan dan memuatkan dalam lori perlu dihabiskan tepat jam 10 pagi. Ia kemudian dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), lima jam sebelum masa berlepas.

Sebuah lori katanya boleh memuatkan 400 kotak, satu kotak boleh memuatkan 100 tangkai bunga.

Lee berkata, menanam bunga memerlukan ketelitian. Setiap pekebun juga memiliki rahsia tersendiri berkaitan teknik penanaman. Semua itu sangat penting kerana untuk menembusi pasaran Jepun sangat rumit. Kualiti setiap helai daun dan kelopak bunga perlu dipantau. Satu titik kecil putih pada daun pun sudah mencacatkan kualiti bunga.

Bunga yang dibawa masuk ke Jepun juga berhadapan dengan kuarantin eksport. Perubahan kualiti bunga akan menjejaskan harga.

Justeru katanya, keupayaan memasuki pasaran Jepun menyebabkan kualiti bunga perlu dijaga.

5 comments:

  1. kalo direct ke kebun boleh beli bunga x? tgah cr supplier bunga tuk hantar ke Kota bharu ni.. kalo ade cara lain bleh bgtau sy?? tQ

    ReplyDelete
  2. Kalau beli banyak boleh terus ke packing house, cuma packing house lebih suka berurusan dengan pelanggan yang ingin kuantiti banyak dan berterusan.

    Jika perlukan sedikit, boleh berurusan dengan penjual sahaja seperti di arked peladang dan kea farm.

    ReplyDelete
  3. BRO KALAU KITA NAK BELI BUNGA KEKWA BOLEHKE? KITA NAK AMBIL UTK KEDAI SETIAP MINGGU. TLG REPLY KAT EMAIL I (aatih08@gmail.com)

    ReplyDelete
  4. Boleh email kepada saya (miezan39@gmail.com) quotation utk bunga kekwa anggaran 24,000 tangkai setiap minggu utk pasaran Hatyai, Phuket & Narathiwat. Harga termasuk kos penghantaran ke sempadan Malaysia di Padang Besar, Perlis. Terima Kasih. Rosmizan Mansor 0174300988 (sms/whatapps)

    ReplyDelete
  5. assalam sy nak tanya sumber surat khabar utk bahagian puan latifah. terima kasih untuk bantuan awk. ini untu projek akhir tahun sya.huhu

    ReplyDelete