Thursday, October 21, 2010

KHIDMAT RAWATAN ISLAM DI CAMERON HIGHLANDS


~saya copy and paste entry di bawah dari blog As-Syifa' Melaka sebagai hebahan untuk warga Cameron dan luar. Maklumat lanjut, bolehlah berhubung dengan Ustaz Zaini sendiri di talian di bawah~

Sempena cuti sekolah dan untuk menikmati suasana segar dan nyaman di kawasan pergunungan tinggi, maka suatu usaha dengan kerjasama penduduk setempat dan masjid yang berdekatan maka suatu program yang dinamakan "X-PDC KHIDMAT RAWATAN ISLAM 2010 anjuran AS-SYIFA' MELAKA" akan berlangsung di kawasan pelancongan Cameron Highland pada bulan Disember 2010 yang akan datang.

Maklumat program adalah seperti berikut :-

Nama Program : "X-PDC KHIDMAT RAWATAN ISLAM 2010"
Tarikh : 1, 2 dan 3 DISEMBER 2010 (Rabu, Khamis & Jumaat)
Masa : 3.00 ptg - 8.00 mlm
Tempat : Berinchang (Akan diberitahu kemudian)
Perawat : Md Zaini Zainal (As-Syifa' Melaka)
Temujanji : Hubungi talian 013-2006363

Nota: Oleh kerana masa yang terhad, diharapkan kepada sesiapa yang berhajat silalah hadir pada masa yang telah dicadangkan di atas.

Panduan Bahan Rawatan : Bagi penyakit gangguan makhluk halus, saka, sihir, jin dll, sila bawa limau nipis 21 biji dan air mineral 2 botol. Kanser,sila bawa kunyit putih jika ada atau kangkung liar secekak dan air mineral. Bagi penyakit atau hajat-hajat lain sila bawa air mineral 2 botol.

Kita hanyalah berikhtiar dan berdoa dan kesembuhan hanya dari Allah.

Sebarang pertanyaan atau temujanji sila hubungi

As-Syifa' Melaka : 013-2006363 (Md Zaini Zainal)

Monday, October 18, 2010

PPPCH DESAK NEGERI NAIKKAN SEWA AIR


CAMERON HIGHLANDS 16 Okt. - Persatuan Pribumi Perkasa Cameron Highlands (PPPCH) mendesak kerajaan negeri menaikkan kadar sewa air antara RM300 hingga RM500 setahun ke atas pengusaha dan pekebun sayur di tanah tinggi itu.

Pengerusi PPPCH, Alias Abdul Rahman berkata, selama ini, seramai 7,200 pengusaha dan pekebun sayur di tanah pemilikan sementara (tol) di Cameron Highlands hanya membayar sewa air RM10 setahun dan kadar itu tidak mampu menampung pengurusan yang semakin meningkat di pusat peranginan itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan menanggung kerugian jika mengekalkan sewa minimum itu sedangkan kadar yang lebih relevan ialah antara RM300 hingga RM500 setahun.

''Sejajar peningkatan pengurusan, sewa air tahunan wajar dinaikkan, lagi pun pengusaha di sini mampu membayar sewa berkenaan berasaskan pendapatan yang lumayan daripada hasil produk pertanian komersial masing-masing.

''Langkah ini boleh menjimatkan perbelanjaan kerajaan negeri dan mengurangkan defisit belanja pengurusan air yang semakin meningkat berikutan permintaan yang tinggi terhadap keperluan asas berkenaan," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurut Alias, cadangan itu dilakukan berikutan peningkatan penggunaan air di kawasan tanah tinggi itu di kalangan pengusaha dan pekebun sayur termasuk mereka yang meneroka tanah secara haram bagi tujuan yang sama sehingga air di Sungai Terla semakin susut.

''Makluman yang kita terima, iaitu kadar penggunaan air di sini untuk mengairi tanaman mencecah lebih 1 juta liter sehari, tidak termasuk penggunaan bagi kediaman dan premis lain," katanya.

Menurutnya, pihaknya menjangkakan penggunaan air yang tinggi itu menyebabkan Sungai Terla hanya mampu menampung keperluan sehingga 2015. ''Kita bimbang kadar penyerapan air semakin meningkat bermakna kawasan Cameron Highlands akan menghadapi kekurangan bekalan untuk menampung hampir 40,000 penduduk termasuk pelancong pada masa akan datang," katanya.

Alias menjelaskan, kekurangan air juga berpunca daripada kadar penyerapan yang semakin tinggi berikutan pemanasan suhu akibat pencerobohan tanah haram dan penebangan hutan tidak terkawal.

Tambahnya, peningkatan kadar sewa air terhadap pekebun sayur Cameron Highlands merupakan antara langkah menjimatkan kewangan kerajaan negeri selain menguatkuasakan pencerobohan tanah di kawasan itu.

Monday, October 11, 2010

AGAK SIBUK!


Pada jumaat hingga ahad yang lepas adalah waktu yang agak sibuk bagi saya. Memenuhi tempahan dari sebuah sekolah di Kedah pada jumaat dan disambung dengan tempahan dari sekolah di Batu Pahat pada sabtu dan ahad. Nasib baiklah keadaan jalan di cameron Highlands tidaklah terlalu sesak, jadi makanan boleh dihantar tepat pada waktunya.

Terima kasih juga kepada sahabat dari Sabah yang sabar menanti pesanan teh beliau di poskan pada pagi ini (isnin). Ini adalah kali kedua beliau memesan teh dari saya. Menerima pesanan dari sahabat sejauh negeri Sabah memerlukan penelitian juga kerana kadar pos mungkin boleh jadi tidak munasabah. Tapi kalau sudah teringin untuk merasa, apalah ada pada harga.

Monday, October 4, 2010

PENANTIAN RAKYAT PAHANG JADI KENYATAAN



Penantian rakyat Pahang untuk mengunjungi Cameron Highlands tanpa melalui dua negeri jiran kini berakhir apabila pembinaan jalan ke pusat peranginan itu dari negeri ini siap sepenuhnya sedikit masa lagi.

Kini rakyat negeri ini boleh terus bercuti atau melawat saudara-mara mereka di Cameron Highlands melalui Jalan Sungai Koyan-Cameron Highlands.

Mereka tidak lagi perlu melalui Tapah atau Simpang Pulai, Perak atau melalui Jalan Loging-Gua Musang, Kelantan ke pusat peranginan terkemuka itu.

Jalan Sungai Koyan-Cameron Highlands sepanjang 79.1 kilometer dijangka dibuka tidak lama lagi dapat memendekkan jarak perjalanan sejauh 80 kilometer dari Kuantan. Laluan tersebut mula dibina pada 1999 dengan perbelanjaan sebanyak RM608 juta.

Sebelum pembinaan jalan baru itu, Cameron Highlands yang terletak dalam negeri Pahang lebih ‘dekat’ dengan penduduk Perak berbanding negerinya sendiri gara-gara kesukaran perhubungan di laluan yang merentasi Banjaran Titiwangsa itu.

Malah penduduk daerah Lipis yang berjiran dengan Cameron Highlands yang merupakan daerah ke-11 di Pahang menjadi terlalu jauh kerana ketiadaan jalan raya yang menghubungi kedua-dua daerah itu sebelum ini.

Akibatnya rakyat Pahang terpaksa berbelanja lebih untuk minyak kenderaan serta tempoh perjalanan yang panjang apabila hendak ke Cameron Highlands. Dengan keluasan 71,225 hektar, Cameron Highlands merupakan tempat percutian tanah tinggi apabila suhu dingin sekitar 17 darjah Celsius hingga 23 darjah Celsius sepanjang tahun.

Bagaimanapun ada dakwaan mengatakan kesejukan di tanah tinggi tersebut semakin berkurangan akibat penerokaan hutan secara berleluasa. Sumber pendapatan penduduk Cameron Highlands sebahagian besarnya daripada industri pertanian dan pelancongan. Jika difikirkan secara mendalam, bergantung kepada hanya satu jalan masuk sahaja tidak praktikal kerana ia tertakluk kepada risiko-risiko terputus hubungan dengan dunia luar seperti tanah runtuh dan sebagainya.

Pembinaan jalan baru yang juga dikenali sebagai Jalan Pos Betau-Lembah Bertam itu dapat mengurangkan risiko terputus hubungan jika hanya menggunakan jalan melalui Tapah yang berliku dan mempunyai banyak selekoh berbahaya pada musim tengkujuh.

Ini memandangkan jalan dari Tapah ke Cameron Highlands terpaksa melalui lereng-lereng bukit yang terdedah kepada bahaya apabila hujan berpanjangan atau cuaca buruk.

Jalan Pos Betau-Lembah Bertam dibina melibatkan empat pakej iaitu Pakej 1A yang meliputi jarak sejauh 19 kilometer dari Sungai Koyan ke Pos Betau.

Jalan itu yang mula dibina pada 1999 telah siap sepenuhnya pada penghujung 2001 dengan menelan belanja RM52 juta.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, pakej kedua iaitu pembinaan jalan itu dari Pos Betau ke Bukit Petubung sejauh 22 kilometer juga telah siap dengan kos sebanyak RM151 juta.

“Jalan pakej kedua ini siap 15 hari lebih awal apabila pembinaannya bermula pada 2002 dan siap pada Jun 2005 manakala pakej ketiga iaitu dari Bukit Petubung ke Sungai Temahang siap pada 2007 dengan kos projek RM232 juta,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Menurut Adnan, pakej terakhir yang melibatkan jalan dari Kampung Susu ke Sungai Bertam sepanjang 18.6 kilometer juga telah siap.

Jalan berkenaan yang menelan belanja sebanyak RM173 juta mula dibina pada 2005 dan kini hanya di peringkat penyudah sahaja. Menurut beliau, jalan baru itu bukan sahaja memendekkan masa perjalanan tetapi turut membuka peluang ekonomi kepada penduduk sekitar terutama kepada Orang Asli dan peneroka Felda Sungai Koyan.

Katanya, mereka boleh mengusahakan gerai makanan dan kraftangan kepada pelancong yang melalui jalan tersebut di beberapa perhentian rehat dan rawat yang akan dibina nanti.

“Masyarakat Orang Asli di Pos Betau dan penempatan yang dibina sepanjang jalan itu bakal menerima perubahan apabila wujud banyak peluang perniagaan yang mampu meningkatkan lagi taraf hidup mereka.

“Kedudukan Pos Betau yang strategik boleh dimajukan sebagai kawasan rehat dan pusat perniagaan bagi membantu Orang Asli untuk memasarkan hasil kraftangan dan hasil dusun seperti buah-buahan dan sebagainya,” kata Adnan.

Jalan Sungai Koyan-Cameron Highlands akan menjadi pilihan rakyat Pahang sebagai jalan pintas untuk ke Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis. Ia menjimatkan masa hampir dua atau tiga jam berbanding jalan sedia ada melalui Kuala Lumpur atau Genting Highlands yang jauh dan mengambil masa.

Tambah beliau, persekitaran alam semulajadi Pos Betau yang masih terpelihara juga boleh menjadi produk pelancongan kerana mempunyai hutan, sungai dan air terjun yang belum tercemar.

Malah, orang ramai atau pelancong yang melalui jalan tersebut dapat mengenali dengan lebih dekat kehidupan sebenar Orang Asli yang tinggal di sepanjang jalan berkenaan.