Monday, April 26, 2010

CARDIO WORKOUT



-artikel ditulis oleh Cek Abang saya yang perasan nak kuruskan badan- heheh..sorry...

Puncak Arabella adalah kawasan perumahan yang terletak di puncak bukit dan diantara tertinggi di Tanah Rata. Lokasi ini juga menjadi tumpuan ramai pelancong yang menjadikan apartment di sini sebagai tempat penginapan.

Puncak Arabella menjadi pilihan saya untuk menjalani Cardio Workout. Pendakian Puncak Arabella melibatkan laluan mendaki sejauh ~850 meter. Disamping pendakian yang baik untuk jantung anda, pemandangan Puncak Arabella juga memberikan ketenangan pada minda.

Gambar terbaru Puncak Arabella (tanah runtuh dah diperbaiki) diambil dari tapak letak kereta Mardi. Parking moto kat sini untuk memulakan perjalanan.

~ date kat gambar tak betul sebab tak di"set"kan ~



Permulaan laluan untuk Cardio Workout. Ini adalah laluan warm-up sejauh ~800 meter yang hanya 200 meter melibatkan laluan mendaki. Laluan bermula dari pintu belakang Mardi dan terus ke jalan Masjid Sultan Abu Bakar.



Laluan mendaki menuju ke masjid. Cuma lebih kurang 200 meter sahaja kena mendaki.



Laluan mula mendatar menuju masjid.



Laluan menurun 68 anak tangga ke Padang MDCH.



Merentasi padang MDCH untuk ke jalan raya.



Laluan warm-up sejauh 800 meter telah pun tamat. Bermulalah laluan mendaki ke Puncak Arabella sejauh ~ 850 meter.



Laluan mendaki yang sempurna jalannya, taklah berlubang-lubang.



Pemandangan tanah runtuh yang sudah dibaik pulih dipertengahan laluan mendaki. Rumah kat bawah tu ialah kuarters Pejabat Kesihatan. Selambe je diaorang tu dok kat tepi cerun bukit yang curam.



Pemandangan kompleks sekolah rendah dan menengah.



Himpunan sistem pelindung hujan (SPH) di Mardi. Yang paling jauh tu milik Malaysian Agri Food Corporation (MAFC).



Taman Agroteknologi Mardi dari Puncak Arabella.



Pemandangan Puncak Arabella dari separuh pendakian.



Laluan sungai nun jauh di bawah tu akan terus ke Robinson Fall.



Deretan apartment di Puncak Arabella.



Laluan mendaki jika dilihat dari Puncak Arabella. Ada sedikit accident antara Pesonakereta dengan van. Jadi berhati-hatilah jika menuruni Puncak Arabella untuk mengelakkan perkara tidak diingini.



Pemandangan laluan mendaki dari Puncak Arabella



Masa turun ikut tangga jer...huhu....



Perjalanan pulang melalui Tanam Inggeris di Mardi Agrotek.



English Cottage milik Mardi dan boleh disewa jika berminat. Rujuk N3 berkaitan.



Perjalanan untuk cardio workout dah berakhir. Cek abang happy gak sebab baru seminggu lebih mendaki dah pun turun berat badan ~ 4kg.

TAHUKAH ANDA?



Kenapa harga bagi strawberry petik sendiri (self plucking) lebih mahal dari "tokeh plucking" (strawberry yang sudah siap dipetik oleh tuannya) walaupun dari pokok yang sama?

Jawapannya ialah....

Tokeh ladang dah tahu kalau "self plucking" mesti korang makan dulu entah berapa kilo kan? Lepas korang dah kenyang baru korang petik dan masuk dalam bakul dan ditimbang untuk harganya. Yang masuk bakul cuma 1/2 kilo, yang korang dah makan tu lebih sekilo. Perbezaan harga untuk "self plucking" dengan "tokeh plucking" ialah sebagai ganti rugi atas buah yang korang makan tu.

Jadi moralnya teka-teki aku nie ialah kalau korang "self plucking", makan je kat kebun tu sebelum ditimbang. Ada gak aku tengok, nak makan pun punyalah menyorok kat bawah pokok takut tokeh nampak.

Tapi makan tu berpada-pada gak ler.....bukan apa tokeh kebun bukan boleh percaya sangat. Semalam baru sembur racun, hari nie dah buka untuk "self plucking". Percuma je korang makan racun.

CARA PEMBIAKAN/PENANAMAN STRAWBERRY

Anda tahu bagaimana strawberry dibiakkan?

Strawberry adalah tanaman jangka panjang yang sesuai di kawasan suhu sederhana. Di Semenanjung Malaysia strawberry banyak ditanam di tanah tinggi Cameron Highlands dan Loging, Kelantan.

Di Cameron Highlands, strawberry ditanam secara fertigasi di bawah sistem pelindung hujan (SPH). Ia amat sesuai ditanam secara fertigasi kerana boleh meningkatkan kualiti dan kuantiti hasil disamping memberi penampilan menarik kepada pelancong.

Hampir 100% penanaman strawberry di Cameron Highlands adalah secara fertigasi. Walaupun begitu, strawberry mempunyai peminat tersendiri yang menanam di atas tanah secara konvensional, maupun organik. Bagi mereka, strawberry yang ditanam diatas tanah lebih manis walaupun mempunyai bentuk tidak menawan dan kelihatan agak kotor. Yang pastinya strawberry tersebut bebas dari pengunaan racun kimia dan baja kimia.

Saya mempunyai beberapa pokok strawberry ditanam diatas tanah (dalam polibag). Sebagai permulaan untuk menghasilkan strawberry organik sepenuhnya. Anak pokok dibiak sendiri dan saya tidak langsung menggunakan racun kimia. Hanya pada peringkat permulaan sedikit baja NPK blue digunakan untuk merangsang pertumbuhan anak pokok selepas peringkat "bercerai susu" (mandai je aku kata bercerai susu...heheh).

Jom tengok bagaimana strawberry dibiakkan (sebenarnya banyak kerja tu, en. abang aku yang buat...aku tunggu buah masak je...hehhe)

1. Kenalpasti pokok yang ingin dibiakkan. Mestilah berdaun sihat, berbuah besar dan sekata bentuk buahnya. Seperti di bawah.



Atau dibawah. Sila perhatikan daun yang sihat, buahnya mempunyai bentuk menarik dan paling penting dan mengeluarkan sulur. Sulur adalah yang terjuntai keluar tu.



2. Pastikan sulurnya sihat dengan daun yang sempurna. seperti dibawah.



3. Lepas tu cucukkan sahaja sulur tu pada tanah untuk memberi peluang pembentukan akar. Jangan putuskan sulur yang bersambung pada induk kerana pada peringkat ini anak masih memerlukan nutrein dari induk. Pastikan juga induk sihat semasa proses ini. Kalau induk mati, anak pun matilah kekdahnya.



4. Tunggu pembentukkan akar. Proses agak lama gak ler....hingga agak-agak rupa macam kat bawah nie. Daun punyalah lebat, akar cuma seciput jer.....Strawberry adalah tanaman yang mempunyai akar tak panjang.



5. Pada peringkat ini bolehlah dipindahkan pada polibag baru. Sulur pun boleh dipotong dari pokok induk. Nie kira "bercerai susu" la nie. Gambar anak yang dah boleh berdikari.



6. Letakkan sabut kelapa pada permukaan tanah untuk bagi menarik sikit, taklah buah terdampar kat atas tanah.



7. Gambar dibawah takde kena-mengena dengan strawberry. Ia hanya sepohon salad yang menumpang polibag strawberry yang kosong.



Masalah yang dihadapi jika menanam menggunakan media tanah dan secara organik.

i. Pokok mudah kena penyakit seperti virus daripada tanah.
ii. Penghasilan buah kurang, pada mula je buah besar, lepas tu kecik sikit. Bentuk pun tak berapa cantik. Sebab guna baja organik sepenuhnya kan.
iii. Jangka hayat tak berapa lama sebab bila kena penyakit, kena cabut dan ganti pokok baru, kalau tak penyakit berjangkit pada pokok lain. Kaedah cabut dan ganti sebab kita tak guna racun kimia untuk menghapuskan perosak.

Wednesday, April 21, 2010

PENDUDUK CAMERON HIGHLANDS MINTA MB CAMPUR TANGAN

-copy and paste from Utusan Online-

KUANTAN 20 April - Kerajaan Pahang memberi jaminan akan menyelesaikan masalah permohonan tanah dan penempatan yang dihadapi 37 penduduk Cameron Highlands yang dikatakan berlarutan sejak 40 tahun lalu.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Shamsuddin Abdul Rahim berkata, pihaknya akan menyemak semula permohonan mendapatkan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) oleh penduduk terbabit yang dikatakan telah menetap di tanah tinggi itu sejak lebih 40 tahun lalu.

Bagi tujuan itu kata beliau, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan penduduk terbabit untuk menyemak dokumen permohonan yang dimiliki penduduk terbabit pada 29 April ini.

''Kita juga akan merujuk kepada Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Cameron Highlands untuk menyemak fail serta dokumen berkaitan permohonan tanah tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan dialog dengan 37 penduduk Cameron Highlands bagi menyelesaikan masalah permohonan tanah tersebut.

Pada majlis dialog tersebut, penduduk yang diketuai Setiausaha Majlis Perwakilan Rakyat (MPR) Cameron Highlands, Suresh Kumar Bala Subramaniam menyerahkan memorandum kepada Shamsuddin untuk dikemukakan kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berhubung masalah tersebut.

Shamsuddin berkata, kerajaan negeri sukar menyelesaikan masalah tersebut serta merta kerana semua penduduk yang hadir pada dialog itu tidak membawa sebarang dokumen berkaitan.

Dalam perkembangan lain, beliau tidak tahu menahu mengenai pertukaran beberapa pegawai PTD Cameron Highlands kelmarin yang dikatakan ada kaitan dengan masalah yang dihadapi penduduk terbabit.

Sementara itu, Suresh Kumar ketika ditemui berkata, pihaknya meminta Menteri Besar Pahang campur tangan dalam menangani masalah permohonan tanah penduduk terbabit.

Tegasnya, kerajaan negeri perlu mencari mekanisme terbaik untuk menyelesaikan masalah tersebut supaya wujud situasi 'menang-menang' kepada semua pihak.

Beliau mendakwa, antara masalah yang dihadapi penduduk terbabit ialah kegagalan mereka mendapat TOL walaupun telah dipohon sejak 1970-an.

-artikel tamat-

p/s -PTD kena tukar?

Monday, April 19, 2010

INDUSTRI PENANAMAN KUBIS DI CAMERON HIGHLANDS

-copy & paste from Utusan Online-





Cameron Highlands merupakan lokasi utama penanaman kubis yang terkenal di negara ini.
Rakyat Malaysia secara purata mengunyah kira-kira 6,000 tan metrik sayur berdaun termasuk kubis sebulan.

Secara tidak langsung ia turut meningkatkan permintaan kubis dari tanah tinggi.

Permintaan dengan jumlah besar untuk sayur-sayuran ini kebanyakannya adalah daripada pembeli seperti pihak hotel, institusi pendidikan dan asrama.

Bagaimanapun, pekebun di Cameron Highlands yang kebanyakannya menanam benih hibrid yang diimport dari Jepun, Taiwan dan Korea di atas plot tanah 0.8 hektar yang disewa, hanya mampu menghasilkan antara 4,000 hingga 5,000 tan metrik sebulan.

Purata ladang di tanah tinggi mengeluarkan hasil antara 15 dan 20 tan metrik kubis seekar (0.44 hektar), yang mengambil masa antara 75 dan 90 hari untuk matang.

Walaupun keadaan cuaca sejuk di Cameron Highlands sesuai untuk ditanam kubis, petani masih perlu menabur sejumlah baja asli dan kimia agro serta racun serangga yang diimport untuk mengekalkan kualiti tanaman.

Ini bermakna kos pengeluaran untuk setiap kilogram ialah 65 sen, yang tertinggi jika dibandingkan dengan kos yang ditanggung oleh pekebun di Thailand, China dan malahan Belanda.

Menurut ahli jawatankuasa Persatuan Pekebun India Cameron Highlands, Nanthakumar Suprumani, walaupun hasil tanaman telah meningkat berikutan penggunaan benih hibrid, namun peningkatan kos pengeluaran terutama baja dan racun serangga menyebabkan jurang keuntungan kecil.

"Saya kini perlu menambah RM120 untuk botol baja yang sama, yang harganya cuma RM64 pada Disember 2009," kata Nanthakumar.

Nanthakumar, yang kebunnya terletak di kaki Gunung Brinchang, juga bingung dengan tindakan pengharaman penggunaan baja murah dari Thailand sedangkan kubis dari negara itu dibenarkan masuk ke negara ini.

"Sudah pasti pekebun Thai menggunakan baja yang sama untuk tanaman mereka!", tegas beliau.

Pekebun sayur di Cameron Highlands juga menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pekerja.

Untuk membolehkan pengguna memperoleh kuota harian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah menubuhkan satu sistem maklumat pemasaran untuk memastikan kuota pengeluaran bulanan dan musim di samping mengawasi pertimbangan tawaran-permintaan.

Para pegawai FAMA pula bekerjasama dengan wakil-wakil dari Persatuan Penanam Sayur Cameron Highlands untuk mengendalikan kajian fizikal bulanan untuk menjamin tahap pengeluaran sayur-sayuran.

Berdasarkan maklum balas yang diterima, FAMA mengemukakan hasil kajian dan cadangannya kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang kemudian akan mengeluarkan Permit Kelulusan (AP) untuk mengatasi jangkaan kekurangan bekalan dengan mengimport dari Thailand, Indonesia dan China.

"Paras pengeluaran bulanan di Cameron Highlands membentuk asas bagi memastikan jumlah yang akan diimport.

Pada masa sekarang, kira-kira 3,000 tan metrik dibawa masuk setiap bulan," kata Ketua Pengarah FAMA, Datuk Mohamed Shariff Abdul Aziz baru- baru ini.

Tetapi jika data digunakan tidak tepat ia boleh menjejaskan perancangan yang dibuat.

Input yang tidak tepat daripada pekebun boleh membawa kepada pengimportan yang berlebihan dan harga akan jatuh menjunam hasil daripada lambakan.

Keadaan menjadi bertambah buruk lagi apabila pengimport tidak mengisytiharkan kargo yang akan masuk ke pelabuhan selain penyeludupan.

Maklumat menerusi khabar-khabar angin menyebut faktor berkenaan sebagai penyebab kemerosotan harga, hingga mencecah serendah 40 sen sekilogram pada Oktober tahun lalu.

Kebiasaan dalam sebarang pengambilalihan perdagangan, harga bagi setiap barang akan meningkat apabila ia berubah tangan.

Khidmat orang tengah

Dalam perniagaan kubis, harga margin antara pekebun dan orang tengah adalah antara 100 dan 200 peratus.

Ditambah lagi dengan 100 hingga 150 peratus antara orang tengah dengan pemborong; selanjutnya antara 100 dan -200 peratus antara pekedai dan pengguna; dan ketika pembeli mengambil kubis dari rak jualan, harga adalah tiga hingga empat kali ganda berbanding di pintu pekebun.

Faktor seperti sambutan perayaan utama, kawalan harga, harga import yang murah, permintaan daripada pembeli berinstitusi, dan pemilihan cara pengagihan turut mempengaruhi harga.

Kubis Cameron Highlands diedarkan secara terus, kontrak dan pemasaran konsainan.

Memandangkan ramai pekebun kekurangan logistik untuk menghantar hasil mereka terus kepada pengguna, mereka mendapatkan khidmat orang tengah.

Dalam pemasaran konsainan, pekebun akan hanya mengetahui harga di pintu kebunnya selepas pihak konsainan menjual hasil berkenaan di pasar borong Selayang.

Bagaimanapun, tidak semua 120 pemborong yang memberi khidmat kepada pekebun Cameron Highlands mempunyai perasaan memihak kepada kepentingan pelanggannya.

Kurangnya ketelusan telah menghalang pekebun daripada mengesahkan sama ada harga yang mereka peroleh itu memuaskan.

Sebagai pengeluar yang malang dengan tidak mempunyai peranan dalam membuat keputusan harga, penanam kubis sering mengeluh bahawa hasil titik peluh mereka sering dikaut oleh orang tengah.

Harga yang adil

"Kami bergantung kepada belas kasihan pemborong," kata Nanthakumar.

Bersetuju dengan kenyataan itu, usahawan tani Syed Abdul Rahman yang mengendalikan Taman Agro Al-Mashoor di Tanah Rata menggesa pihak berkuasa agar mengawasi aktiviti pemborong bagi memastikan harga mereka adalah sesuai dan adil.

Apabila pekebun yang naik marah mengugut untuk melambakkan stok mereka di premis FAMA di Cameron Highlands pada Oktober lepas, FAMA meredakannya dengan menawarkan pembelian kira-kira 500 tan metrik kubis berharga RM350,000 yang kemudian diagih-agihkan ke pasar raya di seluruh Lembah Klang.

Hampir semalaman selepas itu, harga runcit kubis naik kepada RM1.30 hingga RM1.40 sekilogram.

Ia naik lagi kepada RM3.50 sekilogram apabila kuota AP pada Disember dikurangkan sebanyak 65 peratus, atas cadangan FAMA.

Menerusi FAMA, penanam kubis Cameron Highlands mengetahui bahawa mereka mendapat harga yang adil atas usaha mereka dan seperti yang lain Nanthakumar kini menyalurkan hasil tanamannya kepada FAMA.

Berikutan kawasan tanah yang sememangnya terhad di Cameron Highlands, hasil pengeluaran kubis sudah semestinya tidak akan dapat meningkat melainkan pekebun menggunakan cara berteknologi tinggi dalam penanaman seperti sistem fertigasi atau hidroponik .

Bagaimanapun, cara sedemikian memerlukan modal permulaan yang banyak. walaupun mereka berkemampuan berbuat demikian, ramai tidak akan melakukannya memandangkan tanah yang mereka gunakan untuk berkebun itu adalah disewa untuk tempoh sementara di samping menghadapi masalah mendapatkan pekerja.

Menurut Setiausaha Persatuan Penanam Sayur-Sayuran Cameron Highlands, Chay Ee Mong, bercucuk tanam di kawasan tanah tinggi memerlukan tenaga kerja yang ramai tetapi pekebun tidak mendapat jumlah yang mencukupi.

Oleh demikian, AP tidak akan dihapuskan dalam masa terdekat ini.

"FAMA akan terus berhati-hati dengan melakukan pengawasan dan penguatkuasaan, bagi mengelakkan sebarang aktiviti menyorok dalam proses pemasaran, yang akan menyebabkan harga naik.

"Kami akan memastikan penanam sayur Cameron Highlands mendapat pulangan berpatutan atas usaha mereka," kata Mohamed Shariff.

Bagaimanapun, pekebun juga perlu memainkan peranan masing-masing. Selagi mereka mengisytiharkan jumlah pengeluaran yang sebenar, masalah lebihan dalam pasaran tidak akan berlaku. - Bernama