Monday, February 21, 2011

NAPOLEANS KECIL CAMERON HIGHLANDS

~copy and paste dari Utusan Online~ Sebagai renungan sahaja

SUKA atau tidak, isu berkaitan tanah yang dihadapi secara serius di Cameron Highlands, Pahang ketika ini ialah akibat hipokrasi segelintir petani, ahli politik dan kakitangan kerajaan di kawasan tanah tinggi itu yang luasnya besar sedikit dari negara pulau Singapura.

Hipokrasi petani bertunjangkan sifat tamak-haloba mereka; ahli politik sama ada parti pemerintah atau pembangkang kerana mahu popular lalu sentiasa menyokong tindak-tanduk petani; manakala kakitangan kerajaan ialah kerana tabiat rasuah mereka!

Dengan gandingan gejala tiga serangkai ini, menjadikan isu berkaitan tanah di Cameron Highlands, penulis percaya, tidak mungkin dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat ini.

Ia mungkin memerlukan dua-tiga generasi lagi ataupun, sehingga Cameron Highlands musnah ekologinya lalu menggugat kedudukannya sebagai kawasan tanah tinggi tarikan pelancong ataupun pengeluar tanaman, bunga-bungaan, sayur-sayuran dan buah-buahan utama negara.

Sudah tentu ketiga-tiga puak ini tidak akan mengakui sikap hipokrit mereka. Sebaliknya, cuba mengalih pandangan dengan mewujudkan kambing hitam? Yang harus dipersalahkan dan jalan lebih mudah ialah dengan meletakkan kesalahan itu kepada kerajaan negeri sepenuhnya.

Inilah yang mereka lakukan selama ini dan inilah juga yang dibayangkan oleh beberapa ahli politik yang menyentuh tentang isu petani di tanah tinggi itu menerusi ucapan-ucapan mereka pada Konvensyen Barisan Nasional (BN) Negeri Pahang 2011 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan pada 30 Januari lepas.

Mungkin tersalah ambil semangat 'Rakyat Didahulukan', tidak seorang pun daripada mereka yang bercakap mengenainya meletakkan kesalahan ke atas petani atau sekurang-kurangnya menasihatkan mereka supaya jadilah petani yang patuh undang-undang serta jujur.

Sebaliknya, yang ahli-ahli politik ini sarankan ialah agar kerajaan negeri buat itu dan ini demi kononnya, untuk melancarkan lagi usaha petani dalam bercucuk tanam bagi menyara kehidupan mereka dan menyumbang kepada ekonomi negeri.

Satu daripada saranan itu ialah dengan menghentikan peraturan pembaharuan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) setahun ke setahun, yang dilihat membebankan. Sebaliknya, mereka sarankan agar tempoh sah-laku TOL itu dilanjutkan kepada lebih daripada cuma setahun. Ini kononnya kerana urusan memperbaharui itu sahaja mengambil masa yang agak lama hingga menyebabkan petani tidak layak mendapat pelbagai bantuan pertanian daripada jabatan dan agensi kerajaan selagi TOL mereka tidak mendapat kelulusan untuk pembaharuan oleh Pejabat Tanah dan Daerah.

Saranan ini bunyinya suci dan Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob pun selaku Pengerusi BN negeri, bersikap diplomatik dalam hal ini semasa menggulung perbahasan pada penghujung konvensyen sehari itu.

Namun, ada sindiran yang dapat dihidu daripada reaksinya itu. Sambil beliau mengambil maklum akan saranan mereka, beliau turut membangkitkan betapa ada dalam kalangan petani yang kawasan TOLnya seluas cuma 0.810 hektar tetapi diterokai haram di kawasan bersebelahan dengan keluasan berkali-kali ganda!

Inilah hakikatnya. Malah, dengan tempoh sah TOL selama setahun sekarang ini pun penulis mendapat maklum, gejala itu tetap berlaku dan ia dipercayai akan terus berlaku akibat sikap tamak-haloba segelintir petani ini.

Selain meneroka secara haram, para petani ini juga terkenal dengan menanam hingga ke kawasan rizab jalan, terus-menerus menggunakan racun serangga yang terlarang, serta enggan atau terlalu liat membina perangkap kelodak yang disyorkan; semuanya demi mengurangkan kos dan memaksimumkan keuntungan dek kerana sikap tamak-haloba.

Ahli-ahli politik pula seperti berlumba-lumba untuk menjadi juara kepada petani-petani ini. Taruhannya ialah untuk menjadi popular atau terus kekal popular lalu memperoleh undi pada pilihan raya.

Mengenai segelintir kakitangan kerajaan yang rasuah pula, ini adalah persepsi umum yang memanglah sukar untuk dibuktikan. Terkini yang penulis ketahui, ialah persoalan bagaimanakah boleh berlaku kejadian tanah kerajaan yang belum diputuskan kegunaan tanahnya oleh pihak berkuasa tempatan, boleh terbina di atasnya lima buah kedai sederet dengan jualan lebih RM200,000 sebuah.

Rasuah juga dikatakan berlaku hinggakan keputusan yang pernah diputuskan oleh pihak berkuasa tempatan untuk memindahkan kawasan sesak pasar malam di Brinchang ke tapak lain; dengan cepat diketahui umum dan secepat kilat juga di tapak baru berkenaan, lot-lot tapak sudah siap ditawarkan oleh pihak-pihak tertentu dengan harga tinggi setiap satu!

Dalam menangani gejala tiga serangkai yang penulis istilahkan sebagai The Camerons Little Napoleans ini, nampaknya tiada pilihan melainkan:

* Memulakan langkah bukan setakat menukar kakitangan kerajaan yang sudah terlalu lama berkhidmat di daerah itu ke daerah lain, malah tamatkan sahaja perkhidmatan kakitangannya yang berkhidmat secara kontrak.

* Membersihkan barisan ahli-ahli Majlis dalam pihak berkuasa tempatan itu yang dalam kalangan mereka juga ialah petani yang turut melakukan tanaman sayur-sayuran secara haram hingga melimpah ke bahu jalan.

* Ahli-ahli politik pula harus dididik supaya lebih rasional dan jadilah pemimpin yang fungsinya mestilah untuk memimpin. Bukan pemimpin namanya jika sekadar mengikut kehendak petani yang tidak berada pada pihak yang benar.

Ini semua bukanlah kerja mudah namun wajib dimulakan sungguhpun hasil serta impak positifnya mungkin mengambil jangkamasa yang lama untuk diperoleh.

YOPE KEY-DARE

Kuantan
TERUSKAN MEMBACA...

PERLUKAN KATERING? LAWAT UNTUK PAKEJ MENARIK

JUMLAH PELAWAT

Freelance Writer Needed
Freelance Writer Needed