Thursday, November 26, 2009

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA


Create your own banner at mybannermaker.com!
TERUSKAN MEMBACA...

PERLUKAN KATERING? LAWAT UNTUK PAKEJ MENARIK

Thursday, November 19, 2009

PAKEJ 3 HARI 2 MALAM - CADANGAN LAWATAN LOKASI MENARIK



Dua perkara yang amat sinonim di Cameron Highlands menjelang cuti sekolah ialah jalan sesak dan hujan. Amatlah ruginya jika anda membayar RM816 untuk duduk di hotel Della Fern selama 2 malam tapi tak dapat kemana-mana kerana jalan sesak dah hujan tak berhenti. Anak merengek nak strawberry milk shack di Big Red Strawberry Farm, sedangkan anda hanya terpaku di stereng kereta kerana terperangkap di kesesakan jalan raya.

Disini saya cadangkan perjalanan yang mungkin boleh dijadikan panduan ketika anda di Cameron Highlands. Walaupun begitu, perancangan ini boleh anda sesuaikan mengikut kehendak dan keadaan anda.

HARI PERTAMA

9.00 pagi - bertolak dari Kuala Lumpur (contohnya la kan!)

1.00 petang - Sampai CH dan check in di apartment Desa Anthurium (contoh lagi la kan!). Mandi dan tenangkan fikiran setelah sembuh dari mabuk akibat jalan berliku Tapah - Cameron.

3.00 petang - Jalan-jalan di Tanah Rata (cuma 1.5km jer), ada bazaar jualan kat tempat parking kereta bersebelahan Majlis Daerah Cameron Highlands. Window shopping kat gerai cenderamata yang banyak di Tanah Rata tapi jangan beli lagi sebab balik lambat lagi kan? Bawa anak-anak bermain di Taman Pertabalan Tanah Rata sambil makan goreng pisang yang boleh dibeli dekat-dekat situ. Nak makan burger pun ade!

6.30 petang - Balik ke apartment dan rehat. Solat zuhur dan asar secara jamak dan qasar. Ingat jangan tinggal solat!

8.00 malam - Makan malam di Tanah Rata. Pilihan samada stimboat di restoren Emida, ala thai di gerai Zainab Sam atau gerai Opah, sate atau yong taufu di gerai Hajah Halijah, fast food di Marrybrown, western food di restoren Buluh Perindu.

10.30 malam - Tidur dan simpan tenaga untuk perjalanan panjang esoknya.

HARI KEDUA

8.00 pagi - Sarapan di Brinchang. Banyak pilihan di medan selera seperti nasi lemak, roti canai, lontong, mee goreng, beehon goreng dan lain-lain. Datang awal sikit sebab biasanya tempat duduk penuh.

9.30 pagi - Melawat Big Red Strawberry Farm, Cactus Valley. Kedua lokasi ni bersebelahan sahaja. Boleh cuba strawberry waffle dengan strawberry milkshack. Waktu pagi dicadangkan ke sini kerana bandar Brinchang masih lagi kurang sibuk berbanding petang yang dah mula pasar malam.

11.00 pagi - Melawat Arked Peladang.

12.00 pagi - Melawat Cactus Point.

1.00 petang - Balik ke apartment dan rehat sebentar. Boleh makan tengahari di medan selera Tanah Rata atau Brinchang.

2.30 petang- Melawat Taman Agroteknologi Mardi. Waktu petang taman nie dah kurang pengunjung dan segera elakkan bandar brinchang sebab mula sesak sebab pasar malam.

4.00 petang - Melawat Ladang teh Bharat Tea Plantation.

6.30 petang - Rehat sebentar di apartment.

8.00 malam - Pergi pasar malam Brinchang. Masa nie dah tak boleh elak pasal sesak. Semua tertumpu pada waktu nie untuk shopping. Luangkan masa dan wang anda untuk shopping seperti cenderamata, jagung, bunga, sayur, madu dan lain-lain.

11.00 malam - Rehat di apartment

HARI KETIGA

8.00 pagi - Sarapan la kat mana-mana pun. Tanah Rata ke Brinchang.

9.00 pagi - Melawat Fragrance Nursery.

10.00 pagi - Membeli belah di Kea Farm.

12.00 tengahari - Balik ke Kuala Lumpur melalui Tapah. Singgah sebentar di Ladang lebah madu dan kalau rajin lagi melawat Boh Plantation di Habu, Ringlet.
TERUSKAN MEMBACA...

PERLUKAN KATERING? LAWAT UNTUK PAKEJ MENARIK

MUSIM CUTI PERSEKOLAH TELAH TIBA!

Minggu depan akan bermula musim cuti persekolahan yang panjang. Biasanya suasana di Cameron Highlands juga akan berubah. Jumlah pelancong pada hari biasa di musim cuti adalah melebihi jumlah pelancong pada hari sabtu/ahad pada luar musim cuti sekolah. Apa yang ketara ialah kesesakan jalan raya terutama pada krismas nanti. Kedai makan akan penuh dengan pengunjung dan janganlah berkecil hati sekiranya pesanan anda lambat sampai.

Blog Indahnya Cameron Highlands telah bersiaran sejak bulan April 2009 dengan memuatkan pelbagai info untuk pengunjung. Sebahagian besar tempat menarik yang mesti dikunjungi telah kami masukkan ke dalam blog. Jika ada tempat yang tidak kami masukkan, itu bukanlah bermakna tidak menarik, cuma kami tidak berkesempatan untuk mengambil gambarnya sahaja. Begitu juga maklumat mengenai hotel dan apartment sewa. Cuma satu kami ingatkan rate sewa adalah berbeza jika musim cuti persekolahan.

Blog kami juga akan kurang di update pada cuti sekolah ini. Bukan apa, biasanya warga Cameron Highlands akan menghadkan aktiviti di luar, kebanyakkan pula akan mengambil kesempatan balik ke kampung halaman.

Apa pun bagi anda yang merancang untuk ke CH pada cuti sekolah ini, kami ucapkan selamat datang dan semoga bergembira. Antara nasihat yang kami boleh berikan ialah

1. Jika anda menginap di hotel, pastikan sebaik-baiknya hotel tersebut ada tempat parking tersendiri. Ini kerana jika anda terpaksa mencari tempat parking di bandar Brinchang, selalunya penuh. Tanah Rata pula mempunyai parking yang baru dibuka dan agak luas iaitu di belakang medan selera, cuma agak jauh dari hotel. Diantara hotel yang mempunyai tempat parking luas ialah Della Fern, EQuatorial dan Heritage.

2. Jika anda menginap di apartment sewa, pastikan anda menempah terus kepada pemilik apartment tersebut. Elakkan melalui orang tengah yang dikenali sebagai "broker". Ini memastikan anda dapat kadar sewa yang lebih murah. Pengunjung muslim pula pastikan apartment tersebut adalah untuk muslim bagi memastikan tahap halal peralatan memasak.

3. Kebanyakkan gerai makanan akan dibuka 7 hari seminggu pada musim cuti sekolah. Walaupun begitu, gerai makan milik melayu tidak banyak di sini dan hanya tertumpu di medan selera. Pengunjung dinasihatkan agar datang awal jika ingin menikmati makanan di gerai/restoren kerana ditakuti meja penuh atau makanan habis. Pengunjung juga dinasihatkan mengira kembali wang baki selepas membuat pembayaran kerana kami telah menerima beberapa aduan bahawa pemilik kedai secara tidak sengaja akibat kekalutan/pelanggan ramai memulangkan baki yang kurang.

4. Jika pengunjung melintasi kedai/restoren dan diajak makan, pastikan ia adalah milik melayu. Untuk makluman, tiada satu pun kedai mamak di CH selepas restoren Rahman ditutup (walaupun baru 3 bulan beroperasi).

5. Pengunjung juga tidak digalakan memakan terus strawberry selepas dipetik tanpa dibasuh bagi memastikan ia bebas dari racun kulat. Dari maklumat, disebabkan permintaan tinggi buah tersebut pada musim cuti, ada pengusaha ladang/penjual yang tidak mematuhi penggunaan racun tersebut.

6. Pengunjung diminta merancang perjalanan ketika di CH bagi mengelakkan terperangkap pada kesesakan lalulintas. Biasanya waktu jam 10 pagi hingga 2 petang, jalan raya dari Brinchang ke Kea Farm amat sesak dan jika ini terjadi, pergilah ke lokasi lain dahulu yang kurang sesak seperti berjalan-jalan sahaja sekitar Brinchang.

7. Sila patuhi peraturan lalulintas terutama jalan sehala. Untuk makluman, jalan di Persiaran Camellia 3 berdekatan Maybank adalah jalan sehala walaupun papan tanda kurang jelas. Elakkan parking kereta anda ditempat larangan kerana polis trafik selalu memerhatikan anda.

TERUSKAN MEMBACA...

PERLUKAN KATERING? LAWAT UNTUK PAKEJ MENARIK

Monday, November 9, 2009

BAS CAMERON HIGHLANDS LEMBAB

PUTRAJAYA: Perkhidmatan bas awam henti-henti di Cameron Highlands, Pahang, dikatakan hampir lumpuh apabila pengusaha tunggal yang beroperasi di kawasan peranginan tanah tinggi itu gagal menyediakan perkhidmatan cekap.

Kegagalan itu menyebabkan penduduk terpaksa menunggu bas sehingga berjam-jam, selain keadaan bas yang tidak selesa dan selalu rosak.

Setiausaha Majlis Perwakilan Rakyat (MPR) Cameron Highlands, Suresh Kumar, berkata masalah yang berlarutan sejak 20 tahun lalu menyebabkan penduduk hilang sabar dan meminta pihak berkenaan menyelesaikan masalah itu.

Note: Masalah dari dulu lagi, monopoli dari hanya seorang pengusaha. Sebab itulah saya tak mengsyorkan pelancong mengunakan perkhidmatan tersebut.
TERUSKAN MEMBACA...

PERLUKAN KATERING? LAWAT UNTUK PAKEJ MENARIK

Wednesday, November 4, 2009

DUA PEMANDU LORI MAUT DALAM KEMALANGAN

IPOH: Dua pemandu lori terbunuh apabila kenderaan yang mereka pandu terbabit dalam kemalangan di Kilimeter 54 Jalan Ipoh-Cameron Highlands dekat Keramat Pulai di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, yang terbunuh dalam kejadian jam 9.30 malam itu ialah S.Rajenthrian, 44, berasal dari Cameron Highlands dan Abdullah Yahya, 47, dari Kuala Kedah, Kedah.

"Kedua-duanya mengalami cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat," katanya.

Azisman berkata, kejadian itu berlaku ketika lori yang dipandu Rajenthrian dalam perjalanan dari Ipoh ke Cameron Highlands terbabas lalu memasuki laluan kanan dan bertembung dengan lori yang dipandu Abdullah.

Akibat kejadian kedua-dua kenderaan itu remuk di bahagian depan dan kedua-dua mangsa yang tersepit di celah kenderaan.-Bernama

p/s: Had laju kawasan tu cuma 60km/jam dan selalu gak polis buat perangkap laju.

TERUSKAN MEMBACA...

PERLUKAN KATERING? LAWAT UNTUK PAKEJ MENARIK

PENGUSAHA BUNGA DAKWA RUGI BESAR


IPOH 3 Nov. – Kira-kira 400 pengusaha ladang bunga di Kampung Raja, Cameron Highlands mendakwa mereka mengalami kerugian besar akibat bekalan elektrik yang sentiasa terputus sejak 22 Oktober lalu.

Setiausaha Eksekutif Pertubuhan Pengusaha Bunga-Bungaan Cameron Highlands, Yong Leong Meng berkata, masalah bekalan elektrik yang sering terputus di kawasan tersebut juga menyebabkan 3,500 penduduk sekitar terpaksa bergelap dan menyukarkan urusan seharian mereka.

“Sejak kali pertama bekalan elektrik terputus pada 22 Oktober lalu, kami telah membuat aduan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) Tanah Rata. Ini bukan kali pertama masalah ini berlaku.

“Bekalan elektrik kadangkala ada dan pernah hampir satu hari tidak ada bekalan elektrik. Bila kita buat laporan kepada TNB, sampai sekarang pihak mereka tidak datang melihat masalah ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Leong Meng mendakwa, masalah bekalan yang sering terputus itu telah menyebabkan tanaman bunga kekwa yang diusahakan oleh sebahagian peladang rosak dan tidak dapat dipasarkan.

Malah katanya, mereka juga terpaksa melakukan kerja-kerja membasuh tomato secara manual kerana mesin automatik khas tidak dapat berfungsi.

“Bunga kekwa memerlukan pencahayaan selama empat jam setiap hari. Bila tidak mendapat cahaya yang cukup, pokok-pokok ini akan layu dan mati.

“Jadi kita tidak akan dapat pasarkan bunga tersebut sedangkan kita adalah pengeksport bunga kekwa terbesar ke Jepun. Jika masalah ini berlaku, pasaran eksport kita akan terjejas,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar TNB Negeri Pahang, Datuk Mohd. Rumai Abdullah ketika dihubungi di sini mengesahkan menerima laporan daripada pihak pengusaha ladang terbabit.

Menurut beliau, pihaknya telah menjalankan siasatan dan mendapati kekerapan gangguan bekalan elektrik terputus di Kampung Raja itu adalah disebabkan oleh beberapa punca yang tidak dijangkakan.

Gangguan bekalan yang berlaku pada 22 Oktober lalu katanya, disebabkan oleh talian atas tidak bersalut (ABC) yang terputus digigit musang dan pokok tumbang di atas talian TNB.

Menurutnya, TNB telah telah menjalankan kerja-kerja membaik pulih di kawasan berkenaan.

“Untuk jangka pendek, kita telah membaiki semua talian ABC yang rosak tersebut. Bagi jangka masa panjang pula, pekerja-pekerja TNB akan sentiasa melakukan rondaan dan melakukan kerja-kerja rentis talian iaitu memotong pokok-pokok yang mengganggu talian.

“Saya harap penduduk dan pengusaha ladang di kawasan terbabit dapat bersabar. Kerja-kerja membaik pulih mengambil masa kerana keadaan cuaca dan kedudukan talian TNB yang berada di keadaan muka bumi yang sukar untuk dilalui,” katanya.

Bagaimanapun jelas Mohd. Rumai, TNB akan sentiasa berusaha mempercepatkan proses pembaikan kerosakan tersebut demi kepentingan pengguna.

TERUSKAN MEMBACA...

PERLUKAN KATERING? LAWAT UNTUK PAKEJ MENARIK

JUMLAH PELAWAT

Freelance Writer Needed
Freelance Writer Needed